SMR2024: Kenangan Grindcore Sarawak Era 90-an Dihidupkan

Lost Infidel ketika sedang beraksi pada SMR2024

Acara tahunan metal Sarawak, Sarawak Metal Regime 2024 (SMR2024), yang berlangsung di Hijau Lounge, RH Hotel Sibu pada 28 Disember 2024, menjadi perhimpunan gemilang bagi peminat muzik underground/ bawah tanah di Sarawak. Kemuncak malam itu adalah penampilan Lost Infidel, sebuah kugiran grindcore lagenda dari Kuching yang telah menyepi selama 33 tahun. Ditubuhkan pada tahun 1988, mereka menghidupkan semula kenangan kegemilangan grindcore di Sarawak, khususnya pada era awal scene bawah tanah di Kuching.
Lost Infidel benar-benar menguasai pentas dengan membawa kembali suasana muzik underground 1990-an yang begitu dirindui. Penonton yang hadir menyaksikan persembahan mereka dengan penuh semangat, mengimbau nostalgia era awal muzik metal di Sarawak. Persembahan mereka tidak hanya memukau warga Sibu, tetapi juga menarik peminat dari Kuching yang sanggup merentas jarak jauh demi melihat mereka beraksi.
Ketua kumpulan Lost Infidel, Suffian, yang merupakan satu-satunya anggota asal kugiran tersebut, menyatakan keterujaannya melihat sambutan luar biasa daripada peminat. Menurutnya, perasaan bermain semula seperti menghidupkan semula zaman kegemilangan mereka pada tahun 1990-an. Beliau turut mengumumkan bahawa Lost Infidel merancang untuk terus aktif dengan persembahan seterusnya, serta mempersembahkan lagu-lagu baharu yang bakal dinantikan.


“Bermain semula selepas 33 tahun adalah satu pengalaman luar biasa. Malam itu terasa seperti kami kembali ke era 90-an, di mana semangat underground masih membara. Melihat peminat dari Kuching dan Sibu bersatu untuk persembahan kami, saya rasa seperti muzik grindcore Sarawak hidup semula. Kami akan teruskan momentum ini dan hadir dengan karya-karya baharu.
“Malam Sarawak Metal Regime 2024 memberi nyawa baharu kepada Lost Infidel. Rasanya seperti kami ‘mati hidup semula.’ Nantikan kemunculan kami di pentas selepas ini,” kata Suffian selepas acara tersebut.
Selain daripada Lost Infidel, terdapat enam kugiran lain yang turut membuat persembahan di SMR2024, iaitu Curse of God, Severe Bleeding, Conception, Erectus, dan Baksidik. Selain itu, penyanyi Iban, Man Kronyok, juga tampil dengan persembahan istimewa diiringi muzik minus one.


Acara dimulakan dengan penuh semangat oleh Baksidik, yang membawakan muzik punk bertenaga sebagai pembuka tirai. Persembahan ini disusuli oleh Conception, kugiran death metal dari Sibu yang menampilkan gaya “Eastern Death Metal.” Sebagai wakil tempat asal mereka, Conception memastikan Sibu tetap gah dengan persembahan mereka yang mantap dan bertenaga.
Setelah Conception, kugiran brutal death metal dari Kuching, Severe Bleeding, mengambil alih pentas. Mereka menghidupkan suasana dengan muzik yang agresif dan membuktikan bahawa metal dari Kuching masih berbisa dan relevan.
Kemudian, giliran kugiran-kugiran dari Bintulu untuk memanaskan pentas. Erectus tampil dengan gaya muzik melodic death metal yang memukau peminat. Set mereka juga merupakan yang terpanjang pada malam itu, memuaskan hati penonton yang begitu teruja dengan persembahan mereka. Persembahan ini diteruskan oleh Curse of God, kugiran veteran dari Bintulu yang tetap aktif sepanjang tahun.


Curse of God, walaupun berstatus kugiran lama, tetap bertenaga di pentas. Tidak seperti Lost Infidel yang berehat lama, mereka terus konsisten membuat persembahan dari masa ke masa. Penampilan mereka pada malam itu terasa tepat sebagai pemanas pentas untuk Lost Infidel. Dengan gaya yang tidak mahu kalah, Curse of God mempamerkan persembahan hebat, termasuk menjemput vokalis undangan, Sam Keruntuk, untuk membawakan dua lagu bersama mereka. Aksi mereka benar-benar menghidupkan suasana dan mempersiapkan penonton untuk kemunculan Lost Infidel.
Ketua penganjur, Tazudin Larrong dari SMR Productions, pada malam itu juga memberi ucapan penghargaan kepada semua yang hadir di mana beliau menegaskan komitmen SMR Productions untuk terus menjadi platform utama bagi muzik metal di Sarawak, di samping mengekalkan nilai-nilai muzik bawah tanah sebagai teras utama acara ini.
“Sarawak Metal Regime adalah lebih daripada sekadar gig. Ia adalah platform untuk menyatukan muzik metal dan nilai-nilai underground yang kita cintai. Kami mahu acara ini dikenali sebagai mercu tanda metal di Sarawak, sambil memastikan semangat underground terus subur dan kekal relevan.


“Melihat sokongan luar biasa malam ini, saya percaya muzik metal di Sarawak masih kukuh. Kami di SMR Productions akan terus berjuang untuk memastikan suara metal ini terus bergema,” kata Tazudin.
SMR2024 bukan sahaja meraikan keindahan muzik metal, tetapi juga menyatukan peminat dan kugiran dalam semangat kekeluargaan yang unik dalam scene bawah tanah. Dengan penampilan semula Lost Infidel dan sokongan padu daripada kugiran lain, acara ini membuktikan bahawa muzik metal di Sarawak tetap hidup, segar, dan relevan.


