Slam Kembali, Momen Legenda Dihidupkan Semula!
The Grand Slam Unplugged 2 Janji Gegarkan Mega Star Arena Jun 2026
Sejarah yang pernah terukir tidak pernah benar-benar hilang. Ia hanya menunggu masa untuk dihidupkan kembali dengan cahaya yang lebih matang.
Itulah yang bakal berlaku apabila Slam mengumumkan konsert The Grand Slam Unplugged 2, yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, menandakan kembalinya sebuah momen epik yang pernah mencipta sejarah industri muzik tempatan hampir tiga dekad lalu.
Dibawakan oleh SS Karya Venture bersama Republic Mokhmar Records, konsert ini bukan sekadar ulangan nostalgia, sebaliknya sebuah perjalanan merentas masa yang menghubungkan kenangan silam dengan interpretasi baharu yang lebih kaya dan matang.
Edisi perdana The Grand Slam Unplugged yang berlangsung pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka kekal sebagai antara detik paling ikonik dalam sejarah muzik Malaysia. Gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada malam itu tidak mematahkan persembahan Slam, sebaliknya mengangkat konsert tersebut ke status legenda apabila ia diteruskan secara akustik dan mencipta pengalaman luar biasa yang masih dikenang sehingga hari ini.
Menurut gitaris Slam, Shah, The Grand Slam Unplugged 2 tidak dilahirkan untuk menunggang sejarah semata-mata, tetapi sebagai satu apresiasi terhadap karya dan peminat yang setia bersama Slam sejak era kaset sehingga ke dunia penstriman digital.
“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi yang menyentuh tentang perasaan, kenangan dan keraian lagu-lagu Slam yang hidup sejak era kaset, CD, sehingga kini masih diterima baik oleh peminat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa konsert ini bukan sebuah ulang tayang atau eksploitasi kisah gangguan elektrik yang pernah berlaku, sebaliknya satu perayaan kekuatan Slam yang kekal bertahan dan relevan merentas zaman.
“Ini tentang apresiasi terhadap karya dan peminat. Tentang bagaimana Slam mengharungi badai dan masih berdiri sehingga hari ini. Persembahan secara akustik ini adalah konsep yang sudah cukup matang untuk dipersembahkan kepada semua,” ujar Shah lagi.

Dengan konsep akustik sepenuhnya, The Grand Slam Unplugged 2 dijangka menyajikan susunan muzik yang lebih intim, emosional dan dekat dengan jiwa, membolehkan setiap lagu Slam dirasai dalam bentuk paling jujur dan tulen.
Slam turut menyifatkan konsert ini sebagai janji kepada peminat untuk kembali berkongsi ruang emosi dan kenangan bersama, tanpa ada yang terasing dalam sepi.
“The Grand Slam Unplugged 2 adalah momen kita semua kembali merindu. Jangan berpaling dahulu, dan nantikan ‘Kurnia’ daripada Slam dalam masa terdekat. Ini adalah medan ‘Masih Ada Cahaya’ dalam perjalanan Slam dan anda semua,” kata Shah.
Buat masa ini, peminat diseru untuk menandakan tarikh 20 Jun 2026 di kalendar masing-masing dan bersedia untuk pengumuman seterusnya yang bakal menyusul dalam masa terdekat.
