September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Slam Buat Peminat Panik

2 min read
Spread the love

Penonton dan peminat Slam tertanya-tanya seketika apabila penyanyi Slam, Zamani dikatakan tidak sihat dan mereka terpaksa menghentikan persembahan. Ianya sekaligus mendatangkan keresahan di hati para peminat kumpulan itu.

“Maaf, kami tidak dapat meneruskan persembahan kerana Zamani kurang sihat,” kata pemain bassnya, Lili sebelum mereka yang ketika itu sudah menyampaikan 16 lagu meninggalkan pentas.

Kenyataan Lili itu membuatkan penonton yang hadir terdiam seketika dan tertanya-tanya sesama sendiri mengenai pengumuman itu.

Namun itu hanya gimik yang dilakukan oleh Slam apabila Zamani kembali semula ke pentas beberapa minit kemudian dan menyampaikan dua lagu ‘encore’ yang menutup konsert berkenaan.

“Minta maaf andai kata stamina dan suara kami tidak lagi sama seperti dulu, bukan saja faktor kesihatan, malah usia juga turut memainkan peranan. Umur pun semakin ‘muda’,” usik Zamani.

Terdahulu, Zamani ada meluahkan kebimbangan mengenai kesihatannya dan berharap keadaannya terus stabil pada malam Konsert NurKasih dibawakan oleh AV Group & WMD Event yang telah berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu.

Zamani turut mengembalikan nostalgia peminat menerusi lagu hits Slam seperti Buat Seorang Kekasih, Suratan, Kurnia, Rindiani, Jika Kau Rasa Getarnya, dan Maria Mariana yang turut mengundang dua penonton wanita menyanyi bersama di atas pentas.

Bukan hanya bersandarkan pada lagu-lagu ‘syahdu’ dan balada semata, Slam turut menyampaikan beberapa lagu rancak iaitu Kembali Merindu, Manisnya Rindu, Entah Mengapa dan Nurkasih untuk menghangatkan lagi suasana konsert.

“Sepatutnya kami berhenti berehat, tapi tak mahu ‘potong’ mood penonton, jadi kami teruskan sahaja persembahan,” ujarnya lagi.

Antara lagu yang dipersembahkan dalam konsert tersebut adalah Kembali Merindu, Buat Seorang Kekasih, Suratan, Kurnia, Maria Mariana, Jika Kau rasa Getarnya, Tak Mungkin Berpaling, Gerimis Mengundang dan banyak lagi.

Slam turut menyampaikan lagu Mentari Muncul Lagi dan Kembali Terjalin yang menjadi lagu ‘wajib’ sebelum  menutup tirai konsert yang berjaya menghimpunkan lebih 2000 peminat setia Slam

Selain Zamani selaku vokalis, Shah (gitaris), Eddie (keyboard), Lili (bes) dan Man (dram) yang menerajui Slam.  Konsert Slam NurKasih turut mendapat sentuhan Paang Zaman yang bertindak sebagai perkusi bagi menambahkan ‘warna’ konsert yang berdurasi 2 jam itu.

Pada Februari tahun lalu, Slam muncul dengan Konsert Mentari Muncul Lagi di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).  Kemudiannya mereka merayakan “Slam 30th Anniversary Concert” yang berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 10 Jun lalu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page