Siti Nurhaliza Teruja Berkongsi Pentas Dengan David Foster
Impian Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk berkongsi pentas dengan David Foster, akhirnya dirialisasikan apabila komposer dan produser terkenal itu mengundangnya mengadakan persembahan di Konsert David Foster & Friends Asia 2023.
Konsert David Foster & Friends Asia 2023 adalah anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin)yang akan berlangsung di Mega Star Arena pada 7 Ogos depan.
“Kali pertama saya beraksi bersama Foster sekitar sembilan tahun lalu, saya juga pernah dipelawa beberapa kali untuk membuat persembahan bersama di Indonesia, tetapi rezeki tidak menyebelahi saya.
“Jadi, kali ini saya tidak akan mensia-siakan peluang ini ketika ramai penyanyi muda yang bagus dan berbakat ada, tetapi pasukan pengurusan Foster tetap memilih saya,” katanya pada sidang media Konsert David Foster & Friends Asia 2023 yang di adakan di Kuala Lumpur pada 7 Jun lalu.
“Saya rakam lagu nyanyian asal oleh Celine Dion, Colour Of My Love dalam album kedua kerana itu lagu Foster yang paling saya minat. Ketika duduk di rumah arwah Adnan, beliau selalu mainkan video konsert Celine.
“Dari situ, saya kenal penyanyi hebat itu dan Foster sebagai pencipta lagu yang hebat. Suara saya waktu itu nyaring dan kecil, jadi memang boleh bawa lagu itu. Ada banyak lagi lagu lain yang saya suka. Jadi, sebagai generasi yang membesar dengan lagu ciptaan Foster, peluang dapat membuat persembahan bersama beliau cukup bermakna,” katanya.
“Berdiri sepentas dengan Foster adalah impian setiap artis, saya pula apabila tengok senarai artis hebat, saya rasa sangat kecil. Saya belum dikenali di peringkat antarabangsa, sebelum ini hanya dikenali di Asia, tetapi saya percaya belum terlambat untuk saya dikenali di pentas antarabangsa meskipun pada usia 44 tahun.
Konsert itu turut menampilkan rakan-rakan Foster iaitu Michael Bolton, Peabo Bryson, Katharine Hope McPhee dan Loren Allred.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, berkata Prihatin adalah sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin dan tidak berkemampuan, justeru konsert itu diadakan bagi tujuan amal.
“Terima kasih kepada pasukan Foster dan Siti Nurhaliza kerana memberi peluang kepada kami untuk menganjur konsert skala besar. Ini adalah kali pertama kami mengadakan konsert skala besar membabitkan artis antarabangsa.
“Insya-Allah, sebahagian hasil jualan tiket ini akan disalurkan kepada Tabung Kasih Prihatin untuk bantu mereka yang memerlukan.
Sebanyak 50 peratus hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin bagi kegunaan dan manfaat pendidikan pelajar di menara gading yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf dan B40.
Tiket dijual bermula dengan harga RM988 RM788 RM688 RM288 secara online di laman sesawang di www.myticket.asia.