Siti Nurhaliza Impikan Galeri Seni Peribadi
Sepanjang hampir tiga dekad Datuk Seri Siti Nurhaliza berada dalam belantara seni, bintang tersohor ini cukup konsisten dan produktif dalam menghasilkan album pelbagai genre.
Bukan sahaja album pop, Siti pernah merakamkan bingkisan tradisional, kerohanian, lagu bahasa Inggeris dan kanak-kanak, beliau membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi serba boleh.
Lantaran itu, beliau mengimpikan sebuah galeri seni yang menyimpan dan mempamerkan sejarah peribadi buat tatapan peminat dan khalayak. Impian itu di suarakan oleh penyanyi nombor satu negara baru-baru ini.
“Sebenarnya Siti sudah lama mengimpikan untuk membina sebuah galeri yang mempamerkan segala kejayaan peribadi Siti sepanjang karier sebagai penyanyi. Bukan sekadar bidang nyanyian malah apa jua bidang yang Siti ceburi akan di pamerkan di galeri tersebut”, ujar Siti ketika ditemui media di majlis pelancaran album terbarunya, SITISM pada 20 September lalu.
“Lokasinya samada di Kuala Lipis atau pun di Kuala Lumpur, itu Siti tidak pasti. Namun itulah impian Siti untuk berkongsi momen-momen tersebut dengan peminat dan khalayak. Hasrrat tersebut juga pernah Siti kongsi dengan kak Rozie”, ujar beliau.
Terbaharu, kemunculan album ke-20 berjudul SITISM yang dilancarkan pada 30 Jun lalu, membawa dimensi baru dalam kerjaya penyanyi itu dek pembikinannya yang dianggap di luar zon selesa Siti. album itu menterjemah perjalanan karier muziknya yang merentas zaman.
Meskipun SITISM telah berada di pasaran sejak Jun lalu, 20 September telah di pilih sebagai tarikh pelancarannya kerana ianya adalah ‘gimik’ yang menandakan album tersebut merupakan album ke 20 milik Siti Nurhaliza.
Siti turut mengakui sedikit tertekan ketika merakamkan album tersebut akibat masalah kesihatan dan mengambil masa yang agak lama untuk merakamkan sebuah lagu..
“Proses itu bertambah lama sebab kondisi suara, memang tak boleh nak buat apa, kalau suruh saya husky lagi memang tak keluar suara saya sebab nafas pun pendek sangat pada masa itu.
“Sebagai penyanyi, suara itu adalah satu aset sebab itu saya boleh katakan saya rasa down bila nak siapkan sebab ada lagu yang mengambil masa sampai tiga jam sebab selalu saya ambil masa satu jam atau paling cepat 30 minit sahaja,” katanya
“Ketika saya berhadapan dengan situasi sakit tekak sebelum ini, saya fikir mungkin Allah nak tarik sedikit bakat yang dia pinjamkan. Saya selalu berfikir positif mungkin dalam usia sebegini, kalau Allah nak kekalkan suara saya serak, saya terima dengan reda,” ujarnya.
Album Sitism dilancarkan dalam dua fasa dan fasa kedua adalah album lengkap, disebut sebagai Sitism (Deluxe Album) yang memuatkan 12 lagu ciptaan komposer tempatan dan Indonesia.
Mengulas lanjut mengenai SITISM yang berkonsepkan ‘cyber retro futurism’, ianya adalah terjemahan kepada perjalanan kerjaya seni saya sejak mula menceburkan diri pada 1996 hinggalah sekarang.
“Album ini turut melambangkan interpretasi dan imaginasi saya termasuk visi, misi, inspirasi, impian dan pengalaman dalam industri muzik”, tambahnya.
Antara nama hebat yang menyumbangkan lagu untuk album SITISM adalah Aubrey Suwito, Melly Goeslaw, Sharon Paul, Andi Rianto, Luca Sickta, Tomok dan ramai lagi.
Antara lagu yang terdapat dalam album ini adalah Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara, Kita di cipta Sharon Paul dengan lirik nukilan Rozi Sang Dewi; Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw); Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta dan Siti Nurhaliza) dan Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi).
Turut disenaraikan Ganti (Mingaling dan Nuha Nik/Amir Hasan/Nuha Nik); Teratas (Tomok dan Rudy Nastia/Fedtri Yahya) dan Magis (Mas Dewangga/Jova Devito dan Mas Dewangga/Jova Devito/Aden King), Senyawa (ciptaan Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Datuk Seri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).
SITISM edisi deluxe sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music.