Siti Nurhaliza Dipilih Lagi Wakil Spotify EQUAL, Bukti Legasi Tak Lapuk Dek Zaman
Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza, terus membuktikan kelas tersendiri apabila sekali lagi dipilih sebagai wakil kempen Spotify EQUAL Singapore & Malaysia bagi Mac 2026.
Pemilihan kali kedua ini sekali gus mengukuhkan status beliau sebagai antara figura wanita paling berpengaruh dalam industri muzik serantau, selain membuktikan legasi seni yang dibina sejak lebih dua dekad lalu masih kekal relevan hingga kini.
Siti atau mesra disapa TokTi meluahkan rasa syukur atas penghormatan tersebut yang disifatkan cukup bermakna dalam perjalanan karier seninya.
“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapore & Malaysia merupakan satu penghormatan yang sangat besar buat saya,” katanya.
Menurutnya, pengiktirafan itu menjadi bukti bahawa muzik berkualiti tidak pernah lapuk dek zaman, meskipun industri kini dipacu oleh perubahan teknologi dan trend digital.

“Dalam era digital hari ini, karya yang ikhlas dan berkualiti tetap mampu menembusi sempadan serta dihargai di peringkat global,” katanya.
Sebagai ikon wanita, Siti melihat pemilihannya bukan sekadar kejayaan individu, sebaliknya satu simbol kekuatan suara wanita dalam industri muzik.
“Ini bukan hanya tentang saya, tetapi tentang bagaimana suara wanita mampu menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Balqis itu turut berkongsi pesanan buat bakat baharu khususnya penyanyi wanita agar tidak terlalu mengejar populariti bersifat sementara.
“Jangan hanya kejar viral. Kejarlah kualiti dan bina identiti sendiri. Disiplin dalam menjaga vokal juga sangat penting untuk kekal lama dalam industri,” katanya.
Tambahnya, artis masa kini perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan landskap muzik tanpa mengabaikan asas seni yang menjadi tunjang utama.
Mengakhiri bicara, Siti mengingatkan bahawa peminat adalah nadi kepada kelangsungan kerjaya seseorang artis.
“Hargai peminat kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana,” katanya.
Pemilihan semula Siti Nurhaliza dalam kempen Spotify EQUAL ini jelas membuktikan aura dan pengaruhnya masih utuh, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus melangkah jauh dalam dunia seni.
