Sindiran Berani Diana Danielle Menerusi ‘Raja Dusta’

Diana Danielle kini kembali dengan sebuah karya yang tidak hanya menggoda telinga, tetapi juga mengusik jiwa – “Raja Dusta”, sebuah lagu pop bertenaga tinggi yang mengangkat tema kebebasan, sindiran dan pembalasan halus terhadap cinta yang mengecewakan.
Setelah dua tahun menyepi daripada dunia muzik, Diana tidak kembali dengan balada mendayu atau kisah cinta manis. Sebaliknya, beliau memilih untuk menghentam tetapi bukan secara kasar, malah dengan cara yang sangat classy dan tajam.
“Lagu ini bukanlah tentang membenci sesiapa. Ia lebih kepada meraikan keberanian kita keluar dari hubungan yang tak sihat, dan bagaimana untuk bangkit dengan cara paling menyeronokkan,” kata Diana.
Ditulis dari perspektif seorang wanita, Raja Dusta sarat dengan lirik yang menyentuh isu janji palsu, manipulasi emosi dan kepalsuan yang sering menyelubungi perhubungan yang toksik. Namun, lagu ini bukan eksklusif untuk wanita sahaja tetapi ia adalah untuk sesiapa saja yang pernah diperbodohkan oleh manis mulut seseorang.
“Lagu ini mewakili apa yang ramai wanita alami dalam perhubungan seperti janji palsu, harapan yang dimanipulasi, dan akhirnya keberanian untuk bebaskan diri,” katanya.

Menurut Diana yang juga penyanyi lagu Bersama Dengan Rindu, lagu “Raja Dusta” adalah untuk semua, walaupun lirik lagu ini dibawakan dari perspektif seorang wanita.
Diana berkata, dia ingin menekankan bahawa mesej lagu ini adalah bersifat universal dan boleh dikaitkan oleh sesiapa sahaja.
“Saya mahu pendengar menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Ia mengenai keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri. Kita semua pernah berada dalam hubungan yang berat sebelah. Jadi, lagu ini adalah peringatan supaya jangan tertipu dengan kata-kata manis jika perbuatan tidak seiring,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu ini, Diana berkata, proses rakaman “Raja Dusta” berlangsung dengan penuh keseronokan walaupun ini adalah kali pertama dia bekerjasama dengan penerbit John Jeeves.
Dalam pada itu, Diana berkongsi yang mana sepanjang penghasilan lagu dan video muzik ini, dia menerima sokongan tidak berbelah bagi daripada pasukannya termasuk pihak pengurusan Universal Music, pengarah muzik video, para pelakon, kru produksi serta penari latar.
“Saya agak kekok pada mulanya sebab sudah dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu. Keyakinan saya sedikit goyah, tetapi semua orang di sekeliling sangat menyokong dan buat saya rasa selesa. Saya harap ini menjadi permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam bidang muzik,” katanya lagi.
Diana berkata, Rakaman video muzik “Raja Dusta” turut menjadi pengalaman menarik buat dirinya apabila ia membabitkan tarian, pelbagai lokasi dan penggambaran yang panjang di Palm Garden Hotel, Putrajaya.
“Saya ulang banyak kali perkataan ‘seronok’ sebab memang itulah yang saya rasa! Walaupun mencabar dan di luar zon selesa saya, saya tahu saya perlu biasakan diri dengan rentak ini,” katanya.
Diana berharap lagu ini bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi peneman buat mereka yang sedang atau pernah melalui detik sukar dalam hubungan.
“Saya mahu orang menyanyi lagu ini dengan kuat dalam kereta atau semasa mandi. Muzik adalah satu bentuk perayaan dan saya harap sesiapa yang telah keluar daripada hubungan yang menyakitkan dapat meraikan kebebasan mereka dan menghargai keberanian diri sendiri,” katanya.
“Raja Dusta” boleh didapati di semua platform penstriman digital pada 18 April 2025. Saksikan muzik videonya di YouTube dan rasai sendiri semangat kebebasan yang dibawakan oleh Diana Danielle dalam karya terbaharunya ini.