May 17, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Simfoni Emosi dan Puisi ‘Menyelimut’ Malam Mendengar Nadin Amizah

Spread the love

Sudah tidak dapat dinafikan lagi, lagu-lagu ciptaan Nadin Amizah sangat digemari peminatnya di Malaysia, terutamanya dalam kalangan remaja. Liriknya yang puitis dan penuh makna sering menyentuh perasaan pendengar, menjadikan karya-karyanya diputarkan di pelbagai platform muzik digital. Tidak kurang juga, lagu-lagunya kerap tular dan muncul dalam For You Page (FYP) di media sosial, menandakan betapa besar impak yang dibawa oleh Nadin melalui muziknya.

Konsert Malam Mendengar Nadin Amizah anjuran Renjana Idea yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Mei lalu nyata telah melarutkan lebih 2,000 jiwa yang hadir untuk berkongsi rasa bersama penyanyi dan pencipta lagu dari Indonesia ini. Malam itu bukan sekadar sesi mendengar, tetapi sebuah perayaan emosi yang dibalut indah oleh iringan orkestra yang diterjemahkan oleh 40 pemuzik dari Indonesia.

Pentasnya ringkas namun elegan. Para pemuzik orkestra ditempatkan dalam formasi simetri yang memukau di belakang pentas, diiringi pencahayaan lembut dan dramatik bagaikan penari senyap yang tahu bila harus redup, bila harus menyala; menari bersama nada dan lirik tanpa mencuri tumpuan.

Nadin memulakan malamnya dengan “Sorai”, pilihan pembuka yang bukan sahaja simbolik kepada permulaan kerjayanya, tetapi juga sebagai isyarat bahawa malam itu akan menjadi satu perjalanan ke dalam dunia batin ciptaannya. Suaranya yang bening dan jujur meluncur lembut di atas lapisan bunyi orkestra, disokong sistem audio yang kemas dan mesra telinga setiap nota seakan dihantar terus ke hati pendengar, tanpa gangguan teknikal mahupun gimik.

Deretan lagu seperti Semua Aku Dirayakan, Di Akhir Perang, Rumpang, Rayuan Perempuan Gila, dan Hormat Pada Angin disusun untuk membawa penonton merasai turun naik emosi. Ada detik mereka terpaku diam, ada ketika mereka mengesat air mata, dan ada saat mereka berpandangan, mencari kekuatan dalam bait-bait yang menusuk.

Namun Nadin tidak hanya menyanyi, dia ‘berbicara’. Setiap celotehnya di antara lagu hadir bersahaja dan puitis, seperti membaca surat cinta yang tidak pernah sempat dipos. Pentas menjadi medan pengakuan, ruang berkongsi luka, dan tempat untuk sembuh bersama.

Separuh kedua persembahan menyusuri nada yang lebih sendu. Lagu-lagu seperti Mendarah, Menangis, Dan Selesai, Cermin, dan Bunga Tidur menyerlahkan sisi introspektif Nadin. Pencahayaan kini menjadi lebih dramatik sesekali hanya menyoroti wajah Nadin di tengah pentas yang gelap, menjadikan setiap patah katanya seperti bisikan terakhir sebelum tidur.

Satu kejutan manis hadir apabila Nadin memetik ukulelenya dan menyanyikan Star, sebuah lagu yang jarang dibawa secara langsung. Persembahan ini sederhana, namun cukup menyentuh  seperti detik kecil yang paling diingati dalam sebuah kisah panjang.

Akhirnya, malam itu ditutup dengan Sorak Sorai, seakan melengkapkan kitaran yang dimulakan dengan Sorai di awal persembahan. Penonton yang hadir malam itu telah melalui sebuah pengalaman yang sukar dilupakan dari permulaan, ke tengah perjalanan, hingga penamat yang menyelimutkan.

Secara keseluruhan, Malam Mendengar bukan sekadar sebuah konsert atau showcase, tetapi sebuah persembahan seni yang lengkap dari aspek teknikal, estetika, hingga ke lapisan emosi yang mendalam. Pencahayaan yang berseni, sistem audio yang halus, penghayatan penonton yang total  semuanya menjadi rencah sempurna kepada malam magis itu.

Di tangan Nadin Amizah, setiap lagu bukan sekadar bunyi. Ia menjadi pelukan, menjadi cermin, menjadi doa. Dan malam itu, Kuala Lumpur telah pun menjadi saksi kepada sebuah malam yang benar-benar mendengar  dan merasa, sepenuhnya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page