January 8, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

SIENNA SPIRO, Suara Baharu Paling Menyentuh Hati Generasi Z

Spread the love

SIENNA SPIRO, penyanyi dan penulis lagu berbakat besar dari London, kini semakin diiktiraf sebagai antara suara paling menjanjikan dalam landskap muzik global. Dengan vokal soulful yang mendalam serta penceritaan lirik yang jujur dan dekat dengan emosi, SIENNA mula digelar oleh peminat antarabangsa sebagai “New Adele” Generasi Z satu gelaran yang mencerminkan kekuatan vokalnya yang tulus dan menyentuh jiwa.

Sepanjang setahun kebelakangan ini, kerjaya SIENNA melonjak dengan deretan pencapaian membanggakan. Beliau terpilih sebagai Vevo DSCVR Artists to Watch 2026, selain mencuri perhatian menerusi EP sulungnya, SINK NOW, SWIM LATER yang dilancarkan pada awal 2025. EP tersebut menampilkan lagu-lagu seperti “ORIGAMI”, “BACK TO BLONDE” dan “NEED ME”, yang menerima sokongan awal daripada nama besar industri muzik dunia termasuk SZA, Mark Ronson dan FINNEAS.

Single popularnya, “MAYBE.”, mencatat lebih 125 juta penstriman global serta pernah menguasai carta viral Spotify di empat buah negara. Kejayaan ini membuka ruang lebih besar buat SIENNA apabila beliau membuat debut televisyen di The Late Show with Stephen Colbert, menyertai jelajah musim panas penyanyi multi-platinum Teddy Swims, serta menjadi artis pembuka tirai untuk Sam Smith dalam residensi eksklusif “To Be Free: New York City” di Brooklyn.

Di Malaysia, nama SIENNA SPIRO mula mencetuskan fenomena tersendiri menerusi single terbaharunya, “Die On This Hill”, terbitan Capitol Records. Lagu tersebut menerima sambutan luar biasa daripada pendengar tempatan dan pantas menembusi carta penstriman dengan kedudukan #12 Spotify Top 50 Malaysia serta #41 Spotify Top 50 Global, sekali gus membuktikan penerimaan kuat pasaran Asia Tenggara terhadap karya beliau.

Populariti “Die On This Hill” turut dipacu oleh gelombang video cover dan interpretasi kreatif di media sosial, khususnya di Instagram dan TikTok. Antara artis tempatan yang berkongsi versi mereka termasuk Yazmin Aziz dan Julia Duclos, selain sokongan daripada Key Opinion Leaders (KOL) seperti Elica Paujin dan Cici, menjadikan lagu ini antara balada antarabangsa paling tular di TikTok Malaysia ketika ini. Kandungan kreatif oleh artis seperti Siti Hariesa dan Diana Danielle turut mengukuhkan lagi impak lagu ini dalam kalangan peminat tempatan.

Dilancarkan pada Oktober 2025, “Die On This Hill” merupakan susulan kepada single terdahulu, “You Stole the Show”, yang menerima pujian media antarabangsa termasuk CLASH, yang menyifatkan SIENNA sebagai “bona fide breakout talent”.

Menurut SIENNA, lagu ini mengisahkan tentang “cinta yang degil cinta yang membuatkan seseorang terus bertahan walaupun mereka tahu sudah tiba masanya untuk pergi.” Karya ini dihasilkan bersama barisan penerbit ternama dunia seperti Omer Fedi (SZA, Lil Nas X), Michael Pollack (Miley Cyrus, Lady Gaga) dan Blake Slatkin (Sam Smith, Tate McRae), serta diperkayakan dengan susunan orkestra oleh pemenang tiga Anugerah GRAMMY®, Rob Moose.

Dengan kekuatan vokal yang luar biasa serta keupayaan menterjemahkan luka emosi menjadi karya yang jujur dan menyentuh, SIENNA SPIRO kini semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara suara baharu paling berpengaruh dalam industri muzik global hari ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page