January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sienna Spiro Cipta Fenomena Muzik di Malaysia

Spread the love

Single balada “Die On This Hill” nyanyian penyanyi dan penulis lagu dari United Kingdom, Sienna Spiro, terus mencipta fenomena di Malaysia apabila berjaya menduduki tempat No. 1 Carta Harian Spotify Top 50 Malaysia selain menjadi trending di YouTube Malaysia.

Kejayaan luar biasa itu didorong oleh sokongan padu pendengar tempatan, termasuk gelombang cover lagu yang tular di media sosial oleh artis dan pempengaruh Malaysia seperti Ernie Zakri, Diana Danielle dan Syamel. Fenomena tersebut sekali gus membuktikan pengaruh kuat Malaysia dalam landskap muzik global.

Secara global, “Die On This Hill” telah meraih lebih 173 juta strim, selain mencatat pencapaian memberangsangkan di pelbagai carta antarabangsa. Lagu itu berada di kedudukan ke-12 carta Spotify Amerika Syarikat, menduduki tempat No. 1 serta menghiasi kulit hadapan playlist Today’s Top Hits, dan tersenarai dalam carta di 28 pasaran global. Ia turut mencatat kedudukan No. 9 Carta Single UK, No. 15 Carta Lagu Apple Music Global dan Amerika Syarikat, serta berada di kedudukan ke-54 Carta Billboard Hot 100 dan terus meningkat.

Di Malaysia, kandungan berkaitan lagu tersebut telah merekodkan lebih 220 juta tontonan di TikTok, menjadikannya antara topik muzik paling hangat ketika ini. Lebih menarik, Sienna sendiri memberikan reaksi positif terhadap beberapa versi cover artis tempatan dengan meninggalkan komen pujian di media sosial, sekali gus menambah keterujaan peminat.

Walaupun baru berusia 20 tahun, Sienna membuktikan kematangan luar biasa menerusi vokal yang memukau dan penceritaan emosi yang mendalam. Populariti beliau di Malaysia turut berkembang apabila semakin ramai artis tempatan tampil menghasilkan cover lagu berkenaan, termasuk Nuha Bahrin, Elica Paujin dan Julia Duclos.

Sienna memulakan tahun 2026 dengan lonjakan kerjaya yang ketara apabila membuat persembahan di The Tonight Show Starring Jimmy Fallon, selain tampil di Later… with Jools Holland dan The Today Show. Beliau juga pernah membuka persembahan untuk residensi enam malam Sam Smith di New York City pada penghujung 2025.

Menjelang akhir 2025, Sienna turut menghiasi kulit majalah Notion, menerima pujian daripada penerbitan ternama seperti Rolling Stone dan Dazed, serta terlibat dalam kempen Gap “Give Your Gift”. Kejayaan demi kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Sienna Spiro sebagai antara bintang muda paling menyerlah dalam industri muzik global ketika ini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page