Showcase Jiwa Malaysia 2025 Satukan Def Gab C, Baby Shima, Sixth Sense, Alpha & Masdo

Kepelbagaian genre ternyata memberi impak positif kepada industri hiburan, dari lenggok dangdut ke dentuman gitar rock kapak, Showcase Jiwa Malaysia (SJM) 2025 bakal mempersembahkan sebuah malam penuh variasi muzik pada 1 November ini di Sri Putra Hall, Bukit Jalil.
Edisi sulung SJM menampilkan barisan artis merentas zaman dan genre – daripada kumpulan pop rock Sixth Sense dan Floor 88, ke Kugiran Masdo yang membawa semangat retro 60-an, sehinggalah ke legenda Def Gab C dengan hit ikonik Cinta Sakti.
Turut memeriahkan pentas ialah penyanyi dangdut sensasi Baby Shima, selain wajah baharu industri, kumpulan boy band Alpha yang mencuri perhatian dengan single P. Ramlee Saloma.

Konsert ini dianjurkan Regnant Works dengan sokongan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM). Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil, berkata pemilihan Sri Putra Hall sebagai lokasi adalah bagi menampilkan wajah baharu dewan tersebut yang kini mampu menampung sehingga 3,000 penonton.
“Selain acara sukan, kami mahu menjadikan Sri Putra Hall sebuah ruang pelbagai fungsi – dari konsert, pameran seni, hingga kejohanan e-sukan. Showcase Jiwa Malaysia adalah peluang terbaik untuk membuktikan potensinya,” katanya.

Dengan tiket berharga RM88, SJM bukan sekadar sebuah konsert, tetapi pentas yang meraikan kepelbagaian muzik Malaysia – dari generasi lama hingga artis baharu, dari rentak dangdut ke gema rock kapak.
Tiket boleh didapati menerusi mytickets.asia.