Sheila On 7 ‘Sihir’ Peminat di Fiesta Latihan Pestapora MY 2025

Ini malam kita semua!” jerit Duta, vokalis Sheila On 7 (SO7), saat Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar menjadi lautan nostalgia yang menggoncang jiwa peminat. Malam tadi, Fiesta Latihan Pestapora MY 2025 bukan sekadar festival muzik, tetapi satu pertembungan emosi, memori, dan kegembiraan yang menyatukan dua negara serumpun – Malaysia dan Indonesia.
Tepat jam 9.55 malam, saat Duta, Eross, dan Adam melangkah ke pentas dengan penuh karisma, gegaran sorakan mengisi ruang stadium. Pencahayaan dramatik merah dan biru, ditambah visual retro di skrin gergasi, mencipta aura konsert bertaraf antarabangsa.

SO7 membuka setlist dengan Kita, disusuli Dan dan Sephia – lagu-lagu ikonik yang seakan menjadi “soundtrack” hidup generasi 90-an dan 2000-an. Walaupun sistem audio sedikit terganggu pada awal persembahan, karisma Duta dan kematangan band ini menutup segala kekurangan. Ketika Bila Kau Tak Di Sampingku, Pemuja Rahasia dan Berhenti Berharap dimainkan, ada penonton yang dilihat mengesat air mata – satu bukti betapa muzik SO7 merentas masa dan perasaan.

Namun puncak emosi tiba ketika Seberapa Pantas dan Melompat Lebih Tinggi dilantunkan. Seluruh stadium melonjak serentak, mencipta ‘mini-gempa’ yang membuat suasana semakin magis dengan ribuan lampu telefon pintar menyala seperti lautan bintang.
Sebelum kemunculan SO7, Hindia sudah pun membakar semangat penonton dengan lirik-lirik puitis penuh jiwa. Gabungan elektronik dan indie pop yang dibawa terasa segar, menawan hati ribuan yang hadir. Persembahan penuh energi turut dilengkapkan dengan kehadiran Efek Rumah Kaca, Barasuara, Feast, Nadin Amizah, Pamungkas, dan Kunto Aji, seakan membawa pengalaman ‘Pestapora Jakarta’ lebih awal ke Malaysia.








Di pentas Hingar Bingar, Yonnyboii, SonaOne, Lil J serta DJ CZA memberi sentuhan moden hip-hop, manakala Bunkface, Bittersweet dan Salammusik membuktikan bahawa muzik tempatan setanding dengan barisan antarabangsa.
Penutup malam menjadi lebih meriah apabila Feel Koplo menggegarkan stadium dengan remix koplo lagu antarabangsa – daripada Yellow Claw hingga Rihanna – menjadikan finale festival ini meledak dengan tarian dan sorakan.
Acara ini dianjurkan bersama Hitman Solutions dan Boss Creator sebagai “latihan” menjelang Pestapora Jakarta 2025 yang bakal berlangsung pada 5 – 7 September. Dengan lebih 25 persembahan di dua pentas utama – Main Stage dan Hingar Bingar – festival ini mempamerkan kepelbagaian genre muzik serantau yang kini semakin diiktiraf di pentas global.

“Merealisasikan Latihan Pestapora di Malaysia adalah bukti kemampuan kami menganjurkan festival antarabangsa berskala besar. Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu gerakan budaya,” kata Rohit Rampal, CEO Hitman Solutions.
Sementara itu, Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator, menyifatkan edisi Malaysia ini sebagai satu ‘jambatan budaya’ antara dua negara serumpun.

Melihat sambutan luar biasa, penganjur membayangkan kemungkinan Latihan Pestapora MY dijadikan acara tahunan. Dengan ribuan peminat berkumpul dan sorakan yang memecah malam, jelas bahawa Malaysia kini bersedia menjadi hab festival muzik serantau.
Fiesta ini bukan sekadar hiburan, tetapi “kisah klasik dari masa depan” – satu malam di mana muzik, kenangan, dan semangat serumpun berpadu menjadi sejarah.