December 25, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Shazia Rozaini Luah Rasa Rindu Dalam Bahasa Jepun

Spread the love

Rasa rindu yang terpendam diterjemahkan dalam bahasa Jepun menerusi single terbaharu “Itoshi – Hito”, nyanyian penyanyi dan pelakon Shazia Rozaini, hasil ciptaan komposer dan pelawak terkenal, Illya Buang atau Pakya Senario.

Lagu yang membawa maksud Rinduku itu mengisahkan seorang gadis Melayu yang menyimpan perasaan terhadap seorang jejaka di Jepun, namun cinta tersebut tidak pernah diluahkan. Tanpa kepastian, perasaan itu terus dipendam, menjadikan rindu sebagai persoalan yang berulang dalam fikiran.

Menurut Shazia, “Itoshi – Hito” mempunyai nilai emosi yang cukup istimewa buat dirinya.

“Perkataan ‘Itoshi – Hito’ sangat romantik dalam bahasa Jepun. Lagu ini juga mencerminkan kerinduan saya terhadap seni nyanyian yang mula membawa saya ke dunia seni. Apabila Pakya memberikan lagu ini, saya sangat teruja kerana ia turut menggambarkan keindahan Jepun,” katanya.

Sebelum ini, Shazia pernah tampil dengan beberapa single nyanyian, namun kini lebih aktif sebagai pelakon menerusi pelbagai drama dan telemovie terbitan TV3, Astro dan RTM. Malah, beliau turut membuktikan keupayaannya di pentas teater apabila terlibat dalam teater muzikal Masmoona bersama pelakon popular, Nabila Huda, baru-baru ini.

Sementara itu, Pakya berkata, ilham penghasilan lagu ini tercetus daripada minatnya terhadap muzik Jepun era 1970-an yang menurutnya cukup dekat dengan jiwa pendengar Melayu.

“Saya banyak mendengar lagu Jepun lama dan mendapati iramanya serasi dengan telinga orang Melayu. Jadi kenapa tidak kita hasilkan lagu seperti ini untuk pendengar tempatan,” ujarnya.

Tambah Pakya, bakat Shazia menjadi faktor utama beliau memilih pelakon itu untuk menyampaikan lagu berkenaan.

“Saya mengenali Shazia menerusi program Sepahtu Reunion dan tertarik dengan vokalnya. ‘Itoshi – Hito’ adalah langkah penting untuk mengembangkan lagi perjalanan Shazia dalam industri muzik,” katanya.

Dengan melodi sentimental, sentuhan budaya Jepun dan penceritaan yang halus, “Itoshi – Hito” menawarkan pengalaman emosional yang sarat dengan rasa rindu, sekali gus memberikan kelainan dalam landskap muzik tempatan.

Luncai Emas selaku label menyokong penuh usaha Pakya sebagai komposer eksklusif mereka untuk meriliskan lagu berbahasa Jepun ini, yang dilihat berpotensi menembusi pasaran antarabangsa serta memperkayakan industri muzik tempatan.

Pengedaran digital dan hak cipta lagu “Itoshi – Hito” nyanyian Shazia Rozaini ditadbir oleh Luncai Emas. Lagu ini boleh didengari di platform digital seperti Spotify, Apple Music dan iTunes, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page