March 12, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sharul Kamal Langkah Baharu Bersama Rocketfuel Entertainment

Spread the love

Lancar Single Emas, Bakal Hiasi OST Filem Aksi Magik Rompak

Nama Sharul Kamal mungkin tidak asing lagi di kalangan penggemar muzik tempatan. Dari seorang penyanyi bebas yang dikenali dengan vokalnya yang versatil dan beremosi, kini beliau melangkah ke fasa baharu dengan secara rasmi bernaung di bawah label gergasi Rocketfuel Entertainment.

Menandakan titik penting dalam perjalanan seninya, Sharul tampil dengan single pertama berjudul Emas, sebuah balada mellow bernafas rock yang membawa sentuhan peribadi. Tidak berhenti di situ, beliau bakal melangkah lebih jauh apabila mempersembahkan karya terbaharu berjudul Bayangan, yang terpilih sebagai OST rasmi filem aksi blockbuster, Magik Rompak.

Dilancarkan pada 18 Ogos lalu, Emas hadir bersama video muzik rasmi dan menjadi karya sulung Sharul di bawah naungan Rocketfuel. Bagi penyanyi ini, lagu tersebut bukan sekadar sebuah balada, tetapi lambang permulaan yang penuh makna.

“Lagu ini saya anggap sebagai titik mula perjalanan seni saya. Setiap penyanyi ada lagu yang menjadi penanda, dan untuk saya, inilah dia. Saya harap ia dapat menghubungkan saya dengan pendengar yang mencari lagu ikhlas dan jujur,” kata Sharul.

Sebagai kesinambungan selepas Emas, Sharul bakal tampil dengan single kedua berjudul Bayangan. Lebih istimewa, karya ciptaan bersama Aepul Roza ini bukan sekadar sebuah lagu, tetapi terpilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) filem Magik Rompak yang menampilkan barisan bintang seperti Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar. Filem penuh aksi ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 September 2025.

“Menulis dan merakam Bayangan adalah proses yang sangat peribadi. Apabila ia dipilih sebagai OST untuk filem sebesar Magik Rompak, saya rasa bangga. Lagu ini membawa jiwa dan naratif yang saya percaya akan memberi emosi tambahan kepada penonton di pawagam,” ujar Sharul penuh teruja.

Kolaboratornya, Aepul Roza turut menambah:

“Saya sudah lama mengenali Sharul dan tahu betapa dalamnya jiwa muzik dia. Bila dia ajak saya terbabit dalam Bayangan, saya terus setuju kerana percaya dengan bakat dan visinya. Lagu ini ada kekuatan melodi dan cerita yang kuat, sesuai dijadikan OST.”

Berada di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Sharul melihat peluang ini sebagai platform untuk melebarkan sayapnya dalam dunia seni suara.

“Sebagai seorang artis, mempunyai pasukan yang percaya pada visi saya sangat penting. Dengan sokongan Rocketfuel, saya yakin muzik saya boleh pergi lebih jauh — bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat serantau,” jelasnya.

Single Emas kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBox dan YouTube Music. Manakala Bayangan, OST rasmi Magik Rompak, bakal menemui peminat bermula 5 September 2025.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page