Servis Gaya T20, Harga B40, SPANA Angkat Martabat Bengkel Motosikal Tempatan
Kredit Foto: Maestro Ridwan
Dalam landskap industri servis motosikal yang sering dilihat sederhana dan bersifat ‘asal boleh’, kemunculan SPANA membawa satu naratif baharu yang lebih berani dan tersusun. Dengan slogan “Servis Gaya T20, Harga B40”, pusat servis motosikal berteraskan komuniti ini tampil mencabar persepsi lama bahawa servis berkualiti hanya eksklusif untuk motosikal mahal dan golongan berada.
Di Malaysia, lebih 16 juta motosikal berdaftar direkodkan, menjadikan kenderaan dua roda sebagai tulang belakang mobiliti rakyat, khususnya golongan B40, pekerja ekonomi gig, penghantar makanan serta pekerja harian. Namun, realitinya, ramai penunggang masih berdepan isu servis tidak telus, kos tersembunyi dan kualiti kerja yang tidak konsisten.
SPANA hadir sebagai jawapan kepada jurang itu. Menurut Pengerusi SPANA, Datuk Rosyam Nor, idea penubuhan SPANA lahir daripada pemerhatian terhadap kesukaran yang dihadapi penunggang motosikal biasa setiap hari.

“Selama ini, bila kita sebut servis premium, orang terus bayangkan harga mahal dan motosikal besar. Hakikatnya, rider biasa juga berhak dapat servis yang kemas, telus dan selamat. Di SPANA, kami bawa servis gaya T20, tapi harga kekal mesra B40,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran di Semenyih pada 14 Febuari lalu.
Konsep ‘Servis Gaya T20’ di SPANA tidak sekadar slogan. Ia diterjemahkan menerusi fasiliti bengkel yang tersusun, peralatan moden, aliran kerja yang sistematik serta mekanik berpengalaman yang diberi latihan berterusan. Setiap proses servis dijelaskan kepada pelanggan secara telus, tanpa istilah teknikal yang mengelirukan atau caj tambahan di luar persetujuan awal.
Pada masa sama, prinsip ‘Harga B40’ menjadi kompas utama operasi SPANA. Struktur harga ditetapkan secara kompetitif, selari dengan kemampuan majoriti penunggang motosikal yang bergantung kepada kenderaan mereka sebagai sumber rezeki.
“Bila motosikal rosak, bukan sekadar kenderaan yang terhenti, tapi pendapatan rider juga terjejas. Jadi, harga servis mesti masuk akal dan adil,” tambah beliau.
Bagi memperkukuh misi tersebut, SPANA memperkenalkan keahlian tahunan pada kadar RM100 setahun. Melalui keahlian ini, rider menikmati pelbagai manfaat termasuk keistimewaan servis eksklusif, bantuan kecemasan tertakluk terma dan syarat, akses promosi khas ahli serta peluang menyertai cabutan bertuah rasmi.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memberi jaminan keselamatan dan ketenangan minda kepada penunggang, khususnya mereka yang sering berada di jalan raya sehingga lewat malam.
Lebih daripada sekadar pusat servis, SPANA turut mengangkat konsep ‘Rider Jaga Rider’ sebagai nadi operasinya. Pendekatan ini menekankan semangat kebersamaan dan sokongan sesama penunggang, termasuk kesediaan membantu rider yang berdepan kecemasan di luar waktu biasa.
“Bila rider tersadai jam 3 pagi, ketika itulah nilai sebuah komuniti diuji. SPANA mahu jadi tempat rider rasa selamat, dihargai dan dibantu,” ujar Rosyam.
Sempena pembukaan rasminya di Semenyih, SPANA turut menganjurkan pelbagai aktiviti komuniti termasuk pertandingan video, cabutan bertuah serta pemberian hadiah menarik seperti motosikal dan wang tunai, yang disiarkan secara langsung menerusi platform digital.

Melihat sambutan awal yang memberangsangkan, SPANA merancang memperluaskan rangkaiannya ke beberapa lokasi strategik termasuk Bangi, Kajang, Cheras dan Shah Alam menjelang 2027. Perluasan ini bertujuan membina ekosistem sokongan penunggang motosikal yang lebih menyeluruh di Selangor dan Lembah Klang.
Dengan gabungan servis bertaraf premium dan harga mampu milik, SPANA dilihat berpotensi menjadi penanda aras baharu dalam industri servis motosikal tempatan sekaligus membuktikan bahawa layanan kelas pertama tidak semestinya datang dengan harga kayangan, sebaliknya boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
