September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Serlahkan Semangat Patriotisme Anda Menerusi Konsert Jiwa Malaysia September Ini

2 min read
Spread the love

Bulan Ogos pastinya sarat dengan pelbagai pengisian yang melestarikan patriotisme terhadap negara yang mencapai kemerdekaan setiap tanggal 31 Ogos. Setelah Ogos diraikan dengan semangat kemerdekaan, September hadir dengan semarak cinta yang lebih besar apabila negara menyambut Hari Malaysia pada 16 September 2024.

Selaras itu, Perbadanan Stadium Malaysia dengan kerjasama MND Sport & Event selaku penganjur bersama dengan bangga menganjurkan Konsert Jiwa Malaysia 2024 sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 dan juga Hari Malaysia.

Konsert Jiwa Malaysia bakal berlangsung pada 7 September 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil ini disifatkan sebagai bukan hiburan kosong sebaliknya penuh dengan nilai-nilai yang mampu menyemarakkan semangat cintakan negara terutama dalam kalangan generasi muda.

Justeru itu, pihak penganjur meletak sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada enam kugiran terbaik tanah air bersama seorang solois yang mewakili jiwa Malaysia.

Spider, Hujan, Ruffedge , Dolla, Bunkface, Insomniacks Dan Bella Astillah telah diberi mandat untuk menjayakan Konsert Jiwa Malaysia itu nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Encik Iliyas Jamil menyifatkan Konsert Jiwa Malaysia 2024 berbeza daripada penganjuran lainnya.

“Bertemakan Jiwa Malaysia, konsert ini bukan sahaja akan menghiburkan para pengunjung yang majoriti dari kalangan generasi muda, malah turut menginspirasi mereka tentang kepentingan memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara.

Pembabitan Spider, Hujan, Ruffedge, Dolla, Bunkface, Insomniacks dan Bella Astillah mewakili setiap generasi masing-masing disifatkan relevan dalam usaha membangkitkan nilai-nilai kemerdekaan dalam masyarakat hari ini,” ujar Iliyas Jamil.

Buat satu-satunya permata yang menghiburkan pengunjung bermula pukul 8 malam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 7 September 2024, Bella Astillah, kesempatan yang diberi kepadanya akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Sementelah, Bella secara tidak langsung seperti mewakili Sabah yang melengkapkan negara bernama Malaysia.

“Sejujurnya Konsert Jiwa Malaysia 2024 akan menjadi platform yang sangat bermakna buat saya sebagai satu-satunya penyanyi wanita solo pada malam itu serta wakil pengiat seni dari Sabah.

Terima kasih buat penganjur yang memberi kepercayaan kepada saya untuk berkongsi pentas dengan lima kugiran hebat tanah air demi menyemarakkan rasa cinta terhadap negara kita yang tercinta.

Tidak kira saya dari Sabah atau Spider dari Johor misalnya, kita semua satu. Kita adalah wajah Malaysia,” ujar Bella Astillah.

Lebih mengujakan, penganjur yang menyasarkan seramai 15,000 penonton meletakkan dua harga cukup berbaloi dibeli pengunjung untuk menikmati Konsert Jiwa Malaysia 2024.

Pengunjung boleh membeli tiket berharga RM7/0 (JIWA – berdiri) dan RM50 (MERDEKA – duduk) untuk EARLY BIRD serta RM120 (JIWA-berdiri) dan RM 90 (MERDEKA – duduk) bagi harga asal menerusi https://ilassoticketsM@om untuk merasai pengalaman berbeza meraikan semangat patriotisme di Konsert Jiwa Malaysia 2024.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page