September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sengatan Berbisa Spider ‘Keluar Sarang’

2 min read
Spread the love

Karier Spider yang menghampiri 30 tahun penubuhannya dan tampil sebagai sebuah kumpulan yang berpaksikan nuansa Ska dan Rock itu digunakan sebaik mungkin apabila mendapat ruang dan peluang untuk beraksi secara solo di pentas yang cukup lengkap fasilitinya.

Aura dan sengatan berbisa Spider apabila ‘Keluar Sarang’ di pentas Zepp Kuala Lumpur pada 22 Jun lalu nyata berjaya menghipnosiskan lebih 2400 peminat.  Mereka bukan sahaja di sengat malah di polemikkan dengan aksi-aksi bersahaja Spider.

Konsert ‘Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024’ yang bermula tepat jam 8.40 malam itu terlebih dahulu ‘dipanaskan’ dengan lagu Ajaib, Rasakan Resapkan dan Anti Graviti sekaligus memaksa khalayak untuk terus ‘memaku’ diri mereka di hadapan pentas.

Tam (penyanyi), Pown (gitar), Eiz (bass) dan Aie (dram) tampak antusias dengan limpahan penonton luar jangka sehingga memaksa berasak-asak untuk terus menikmati santapan halwa telinga melodi ciptaan Spider hingga ke note terakhir.

Ngam Ho, Lengit dan Katalis terus bertali arus menjadi pertaruhan Spider sekaligus memaksa khalayak untuk bernyanyi bersama menerusi Mungkinkah Terjadi.  Lontaran vokal bersama peminat sudah pasti bikin gamat seluruh ruang.

“Dalam hidup ini ada yang sejak awal hingga akhir bersama, ada juga sempat bersama, tapi pergi di pertengahan jalan,” ujar Tam sebelum menyampaikan lagu Mungkinkah Terjadi.

Suasana bening seketika takkala Tam berkata sedemikian lantas membawa khalayak kepada bibit kenangan Spider sewaktu dibarisi oleh arwah Tony dan Napie yang kini menghadapi masalah kesihatan sekaligus memaksa beliau direhatkan.

Tiga dekad mewarnai dunia seni dipraktikkan sebaik mungkin untuk  membuai peminat dengan lagu Laukku Cukup Masin, Telinga ke Tulang, Mabuk, Cinta Dewa Dewi dan Kacap Terlabik.  Muzik Spider kedengaran lebih segar dengan elemen ‘horn’ yang memberikan warna yang berbeza persembahan Spider sebelum ini.

Meskipun percaya dengan kekuatan lagu-lagu yang dipersembahan pada malam itu, Spider masih mahu memberikan penghormatan peribadi pada lagu-lagu ‘malar segar’.  Justeru itu mereka memilih lagu Hingga Akhir Nanti yang pernah dipopularkan oleh Alleycats sebagai tanda hormat.

Konsert anjuran IFIX Entertainment itu terus membawa khalayak ‘klimaks’ dengan seleksi lagu-lagu yang mesra telinga seperti Buat Sang Puteri, Kekasihku, Nazraku, Kasih Latifah dan Tapi Bagaimana.

Detik terus berlalu, meskipun penonton ‘panas’ dengan asakkan lagu-lagu Spider malah masih setia bersama band pujaan, namun dalam kedinginan suhu penghawa dingin Spider tetap akur untuk melakukan ‘encore’ dengan lagu Relaku Pujuk,Aladdin dan Bila Nak Saksi sekaligus menamatkan konsert ‘Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024’.

Mendominasi keseluruhan pentas bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi Spider bijak menggunakan segala fasilitas.  Mainan pencahayaan yang dipaterikan dengan sistem bunyi yang cukup ‘mesra’ telinga juga menjadi faktor utama untuk menjadikan konsert ini sebagai ‘menumen agong’ milik Spider dan peminat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page