December 12, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Senario Bangkit Semula, Konsert ‘The Last Kopek’ Janji Nostalgia Padu

Spread the love

Kredit Foto: PaPaDin

Legenda komedi tanah air, Senariounion, bakal kembali menggegarkan pentas selepas lebih 30 tahun mewarnai hidup rakyat Malaysia dengan jenaka bersahaja dan lagu-lagu yang sudah menjadi sebahagian daripada budaya pop negara. Konsert The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun yang dijadual berlangsung pada 25 April 2026 di Idea Live Arena bakal menyatukan semula enam tonggak asal, memberi ruang kepada peminat untuk kembali ‘ketawa besar’ seperti zaman kegemilangan mereka.

Dianjurkan Dreamscape Events dan diterbitkan Kapla Entertainment, konsert ini menyaksikan kemunculan semula Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya di atas satu pentas—sesuatu yang dianggap mustahil beberapa tahun lalu. Namun sorotan emosi pasti tertumpu kepada segmen tribute khas buat Allahyarham Hamdan Ramli, anggota asal yang meninggal dunia Januari tahun lalu.

Penganjur berkata segmen tersebut bakal menjadi momen paling menyentuh malam itu, menampilkan montaj kenangan, klip lawak lama serta persembahan lagu yang pernah dipopularkan arwah. Anggota lain dijangka berkongsi cerita yang selama ini hanya diketahui mereka, menjadikan penghormatan itu bukan sekadar formaliti, tetapi luahan rindu seorang sahabat kepada sahabatnya.

Bagi peminat yang membesar dengan sitkom Senario sejak 1996, nama Senariounion bukan sekadar kumpulan komedi, mereka adalah sebahagian daripada hidup. Dari dialog ikonik, sketsa spontan hingga lagu-lagu yang masih diulang di corong radio.  Kelibat mereka membentuk warna dan identiti komedi negara. Malah, kejayaan filem Senario The Movie pada 1999 membuka jalan untuk komedi tempatan memonopoli pawagam pada era seterusnya.

Konsert kali ini bukan sekadar ulang tayang jenaka lama. Senariounion turut membawa nafas baharu melalui susunan muzik segar oleh Chaan & The Leman Band, diiringi tujuh pemuzik, tiga pemain horn dan akordion. Lagu-lagu hit seperti Sebelum dan Sesudah, Lip Lap Lip Lap dan Cinta Berkarat akan tampil dalam versi lebih moden namun tetap mengekalkan identiti asal. Gabungan muzik dan komedi ini dijangka menjadi kekuatan utama persembahan, menyatukan generasi yang pernah membesar bersama mereka dengan peminat baharu era digital.

Menariknya, kehadiran Senariounion turut membuktikan bahawa humor tulen tak lapuk ditelan zaman. Walaupun Gen-Z mungkin lebih mengenali jenaka melalui TikTok atau potongan rancangan di media sosial, komedi Senariounion masih ‘mengena’ dan mampu mencetuskan viral semula. Ini menunjukkan legasi mereka tidak mati, ia hidup kembali di tangan generasi baharu.

Namun, di sebalik tawa yang bakal dipersembahkan, enam anggota ini mengakui cabaran kembali ke pentas selepas lama menyepi bukan kecil. Mereka perlu menyesuaikan gaya persembahan, tempo sketsa dan pembawaan humor agar kekal relevan dengan penonton masa kini. Tetapi semuanya dilakukan demi satu tujuan: mahu melihat penonton pulang dengan wajah penuh senyuman seperti zaman dahulu.

Tidak ketinggalan, elemen jenaka turut diterapkan sejak sebelum pintu dewan dibuka. Nama kategori tiket seperti Motor Kapchai, Cinta Berkarat dan Cepat Kaya mencetuskan gelak kecil dalam kalangan pembeli, mengembalikan roh humor Senario yang pernah menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Tiket pula boleh dibeli menerusi platform rasmi iLasso dan Fantopia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page