Senandung Ria Di Kuala Lumpur: Malam Jazz-Pop & Vintaj Bersatu
White Shoes & The Couples Company Dan Nonaria Bakal Bawa Nostalgia Muzik Ke Zepp KL
Peminat muzik berjiwa retro, jazz-pop dan estetika vintaj bakal dihiburkan dengan konsert istimewa Senandung Ria Di Kuala Lumpur apabila dua kumpulan popular Indonesia, White Shoes & The Couples Company dan NonaRia, bergabung untuk sebuah malam yang penuh pesona.
Dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2026 (Ahad) di Zepp Kuala Lumpur, konsert ini menjanjikan pengalaman muzik sarat nostalgia, romantik, dan keanggunan estetika yang menggabungkan bunyi merentas masa, generasi, dan emosi.
NonaRia akan mempersembahkan nuansa jazz-pop kontemporari yang manis, ceria dan bersahaja. Dengan susunan muzik ringkas namun kaya rasa, kumpulan ini berjaya mencipta kehangatan tersendiri melalui lagu-lagu popular seperti “Santai”, “Masa Mudaku”, “Ceria”, “Ambang Rindu”, dan “Kota”.
Menurut anggota NonaRia, keterujaan mereka untuk tampil buat pertama kali di Kuala Lumpur sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Kami sangat teruja kerana ini kali pertama NonaRia berkongsi muzik secara langsung di Kuala Lumpur. Kami tak sabar bertemu peminat dan berharap semua dapat bergembira, bernyanyi dan melupakan sejenak kesusahan hati,” ujar Nesia Ardi.
Rakannya, Nanin Wardhani pula mengakui jemputan ke Kuala Lumpur sememangnya sudah lama dinantikan.
“Akhirnya impian itu tercapai. Sudah lama ramai yang ‘request’ kami tampil di KL, dan kali ini kami benar-benar teruja untuk berjumpa peminat di sana,” katanya.
Sementara itu, White Shoes & The Couples Company terus memikat dengan identiti pop vintaj yang unik, susunan muzik sinematik, serta lirik puitis yang kekal relevan merentasi zaman. Sepanjang perjalanan kerjaya mereka, kumpulan ini melahirkan pelbagai lagu ikonik seperti “Senandung Maaf”, “Vakansi”, “Roman Ketiga”, “Aksi Kucing”, dan “Nothing to Fear”.

Meskipun ini merupakan persembahan kedua mereka di Malaysia (kali pertama pada tahun 2011 di Publika), keterujaan untuk beraksi di Zepp KL tetap terasa istimewa.
Gabungan dua kumpulan ini menjadikan Senandung Ria Di Kuala Lumpur lebih daripada sekadar konsert biasa. Ia adalah perayaan muzik yang mengangkat nilai rasa, gaya, dan emosi, sesuai untuk penonton yang menghargai keindahan melodi, susunan muzik halus, serta pengalaman persembahan yang intim dan berkelas.

“Kami gembira dapat membawa kedua-dua kumpulan ini ke Malaysia untuk pertama kali. Konsert ini dijangka menjadi malam yang penuh nostalgia dan keindahan muzik, sesuai untuk semua yang menghargai seni dan emosi dalam setiap lagu,” ujar Muhammad Nur Anizam, wakil penganjur ZS Entertainment.

Peminat boleh mendapatkan tiket CAT 1 (STANDING) RM200, CAT 2 (PREMIUM SEAT) RM290, CAT 3 (NORMAL SEAT) RM250 dan VIP BOX RM450 PER PAX. Pembelian secara online menerusi : https://www.myticketempire.com/
Konsert ini dianjurkan bersama Lampuneon Entertainment selaku promoter rasmi. Maklumat lanjut mengenai konsert boleh layari : https://www.instagram.com/zs.entertainmentofficial/ atau : https://www.instagram.com/lampuneonent/
