April 9, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Seminyak Indonesian Soulfood Lebar Sayap, Bawa Rasa Autentik Bali ke KLGCC Mall

Spread the love

Jenama kulinari yang semakin meningkat naik, Seminyak Indonesian Soulfood, terus memperkukuh kedudukannya dalam industri makanan dan minuman tempatan menerusi pembukaan cawangan kedua di KLGCC Mall Kuala Lumpur.

Selepas mencatat sambutan luar biasa di Sunway Pyramid sejak pertengahan tahun lalu, pembukaan di lokasi berprofil tinggi ini dilihat sebagai langkah strategik untuk menembusi segmen pelanggan yang mengutamakan pengalaman menjamu selera lebih eksklusif dan berkualiti.

Diterajui oleh barisan usahawan iaitu Lina Rahim, Leta Juangku, Tania Arlene dan selebreti popular Datin Nelydia, Seminyak tampil dengan konsep “Indonesian soulfood” yang menggabungkan keaslian resipi tradisional bersama sentuhan moden.

Jenama ini bukan sekadar menyajikan makanan, sebaliknya membawa pengalaman kulinari yang dekat dengan jiwa.

“Kami mahu membawa rasa Bali yang autentik ke Malaysia, bukan hanya melalui makanan, tetapi juga suasana dan pengalaman keseluruhan yang dinikmati pelanggan,” ujar Lina Rahim ketika ditemui media ketika majlis perasmian Seminyak Indonesian Soulfood di KLGCC Mall pada 9 April.

“Penubuhan restoran ini bermula daripada hubungan akrab yang telah lama terjalin serta sokongan padu daripada suami masing-masing”, tambahnya.

Datin Nelydia yang turut senada dengan Lina Rahim berharap kerjasama yang terjalin menerusi perniagaan ini akan menguatkan lagi ikatan persahabatan.

Restoran ini diinspirasikan daripada keindahan Bali dengan konsep dalaman berunsur tropika yang santai, sekali gus mencipta suasana seolah-olah berada di pulau peranginan tersebut. Dari segi menu, antara tarikan utama termasuk Nasi Jinggo yang jarang diketengahkan secara autentik di negara ini, selain hidangan popular seperti ayam bakar, empal daging, ayam betutu dan bebek kremes.

Tidak ketinggalan, mi buatan tangan yang disediakan segar setiap hari turut menjadi pilihan, melengkapkan pengalaman menjamu selera yang lebih premium.

Mengutamakan kualiti, setiap hidangan dihasilkan daripada bahan segar yang diperoleh daripada pembekal halal, dengan harga yang masih mesra pelanggan.

Sementara itu Lita Juangku, turut memberitahu bahawa kualiti bahan adalah menjadi keutamaan mereka dengan memfokuskan penggunaan bahan organik bagi mengekalkan keaslian rasa asli dari wilayah timur.

“Kami percaya makanan yang baik bukan sahaja mengenyangkan, tetapi mampu mencipta memori dan menghubungkan budaya,” tambahnya.

Lebih daripada sekadar restoran, Seminyak dilihat sebagai destinasi gaya hidup yang sesuai untuk pelbagai acara daripada santapan santai bersama keluarga hingga pertemuan profesional. 

Terletak di lokasi strategik dengan pemandangan padang golf yang eksklusif, cawangan di KLGCC Mall ini mensasarkan pelanggan yang mencari pengalaman menjamu selera yang moden dan selesa dengan perbelanjaan purata antara RM40 hingga RM70 seorang.

Dengan perancangan peluasan ke lebih banyak lokasi serta potensi menembusi pasaran serantau, Seminyak Indonesian Soulfood kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai antara jenama utama dalam landskap gastronomi Nusantara.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page