February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sembilu The Reunion Satukan Tiga Ikon, Axiata Arena Dibanjiri Nostalgia

Spread the love

Lebih dua dekad selepas Sembilu mengukir fenomena luar biasa dalam budaya pop tempatan, denyut emosinya kembali berdegup di pentas besar apabila Dato’ Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain disatukan semula menerusi Sembilu The Reunion Live In Concert yang dianjurkan oleh Ideatelier di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 7 Februari lalu.

Disaksikan kira-kira 10,000 penonton, konsert yang berlangsung hampir dua setengah jam itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya sebuah perjalanan merentas masa lantas mengimbau era 1990-an yang sarat dengan emosi, cinta dan konflik, sebagaimana yang pernah dipaparkan menerusi filem ikonik arahan Datuk Yusof Haslam itu.

Sejak detik lampu dewan dipadamkan, suasana arena segera dilingkari ketegangan dramatik. Cahaya putih dingin memecah kegelapan seperti adegan pembuka sebuah filem tragedi romantik, sebelum perlahan-lahan berubah menjadi rona merah dan biru sebagai simbol konflik, cinta dan kehilangan. Setiap pancaran cahaya seakan berfungsi sebagai bahasa visual, mengiringi perjalanan emosi penonton dari satu babak ke babak seterusnya.

Susunan muzik yang dipimpin oleh Aubrey Suwito disusun rapi untuk menyokong naratif nostalgia tanpa kelihatan berlebihan. Ia jelas memperlihatkan kematangan produksi yang memahami bahawa kekuatan sebenar konsert ini terletak pada emosi dan memori penonton.

Sistem audio yang memenuhi ruang arena pula tidak sekadar kuat, tetapi terarah dan berlapik. Setiap dentingan piano, setiap petikan gitar dan setiap hembusan vokal dipersembahkan dengan kejelasan sinematik, seolah-olah runut bunyi filem dimainkan secara langsung.

Sebelum tirai diturunkan, suasana bertambah hangat apabila anak-anak artis seperti Engku Aleesya dan Merrah muncul dalam uniform sekolah untuk melakonkan semula beberapa babak filem Sembilu, mencetuskan tepukan gemuruh penonton. Datuk Yusof Haslam, pengarah dan penerbit filem Sembilu, juga membuat penampilan khas di atas pentas satu momen penuh nostalgik untuk peminat.

Kehadiran Datuk Yusof Haslam di atas pentas turut menambah nilai sentimental konsert ini, mengingatkan penonton bahawa Sembilu bukan sekadar filem, tetapi sebuah karya yang membentuk landskap hiburan Melayu pada zamannya.

Awie membuka naratif dengan aura maskulin yang mentah dan bergegar. Lagu-lagu seperti Rock N Roll Ronda Ronda, Sangkar Cinta dan Jendela Hati disampaikan dengan vokal yang masih berapi, seolah-olah wataknya dalam Sembilu tidak pernah meninggalkan pentas kehidupan. Di bawah cahaya merah membara dan bunyi gitar yang menggema, Awie tampil sebagai simbol konflik dalaman yang keras di luar, rapuh di dalam.

Erra Fazira pula muncul sebagai kontras visual dan emosi. Disinari cahaya lembut berona emas, Erra membawakan Hanya Di Mata, Cinta Abadi dan Pasrah dengan ketenangan yang mengalir perlahan, seperti monolog panjang dalam filem cinta. Vokal Erra tidak meraung, tidak memaksa, tetapi berbisik tepat ke hati nyata kekuatan yang menjadikan kesunyiannya lebih lantang daripada jeritan.

Ziana Zain seterusnya menguasai pentas seperti klimaks sebuah naskhah epik. Diiringi pencahayaan dramatik dan susunan muzik yang megah, lagu-lagu Anggapanmu, Bersama Akhirnya dan Kemelut Di Muara Kasih dipersembahkan dengan kawalan vokal yang kemas dan berdisiplin. Dalam momen reflektif, doa yang dititipkan buat kedua ibu bapanya terasa seperti adegan penutup yang penuh makna meskipun sunyi, jujur dan meresap.

Ketika fanatika bersorak gembira dan asyik mengiringi nyanyiannya menerusi rangkaian lagu popularnya.  Seluruh arena ‘terdiam’ apabila melihat Ziana beremosi dan kelihatan mengalirkan air mata. Ramai yang menyangka dia bersedih dengan perjalanan hidupnya yang seakan-akan kena dengan lirik lagu-lagu nyanyiannya.

Ziana bagaimanapun tampil dengan ucapan khas menyentuh mengenai pemergian ayahnya, Zain @ Zin Abdullah, pada 26 Ogos lalu. Ia disusuli dengan pemergian ibunya, Robiah Abdul, pada 25 Disember iaitu selepas kira-kira 100 hari pemergian ayahnya.

“Ya Allah… Kak Gee (Ziana) menahan saja. Saya ingat okey tapi kalah juga. Allahuakbar…,” katanya yang menghela nafas menahan sebak.

Segmen kolaborasi menjadi kemuncak emosi apabila ketiga-tiga ikon ini berdiri sebaris, menyanyikan Cinta Makrifat dan Senja Nan Merah. Di bawah limpahan cahaya putih yang menyatukan, suara mereka berpadu seperti dialog terakhir dalam sebuah filem tidak lagi tentang konflik, tetapi penerimaan. Halaman Asmara dipilih sebagai penamat, sebuah keputusan yang terasa tepat, seolah-olah tirai layar ditutup perlahan selepas bab terakhir.

Akhirnya, Sembilu The Reunion berdiri sebagai lebih daripada sebuah konsert. Ia adalah pengalaman sinematik langsung bagai filem yang tidak ditonton, tetapi dirasai. Dengan gabungan pencahayaan berlapik, sistem audio yang menyeluruh dan naratif emosi yang matang, konsert ini membuktikan bahawa sesetengah karya tidak pernah usang. Ia hanya menunggu waktu untuk dipanggil pulang.

Menurut penganjur, kejayaan malam ini memberi inspirasi untuk membawa Sembilu The Reunion ke Singapura pada 24 April depan, sekaligus membuka peluang kepada peminat serantau untuk mengalami kembali magis nostalgia ini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page