September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Selepas 15 Tahun, Search Kembali Menjajah Kuantan

3 min read
Spread the love

Teks Oleh:  Sakka E

“Ini adalah Hadiah istimewa dari kami buat semua peminat Search di Pantai Timur”. Itulah ungkapan dari Nordin Mohd Taib atau lebih dikenali dengan Din selaku tonggak utama kumpulan lagenda yang bakal kembali menakluki nuansa rock era 80an-90an seterusnya melenyapkan dahaga kerinduan peminat di rantau tersebut selama lebih 15 tahun.

Bertempat di Stadium Sukpa, Kuantan. Konsert yang bakal berlangsung selama 2 jam ini menjangkakan kehadiran lebih 3000 peminat dari serata pelosok Pantai Timur yang sudah tentunya datang dengan berbagai ragam, gaya dan fesyen yang tak kurang menghiburkan dan pastinya mengembalikan aura rock nusantara.

Pengumuman tarikh konsert yang akan berlangsung pada 21 Oktober 2023 iaitu beberapa bulan lebih awal memberikan ruang dan masa yang cukup bagi peminat tegar Search bagi mempersiapkan diri dengan penampilan unik masing – masing pada hari konsert nanti.

Mendukung hasrat Search untuk menjajah Kuantan adalah barisan penaja yang berusaha keras bagi memastikan konsert bertaraf mega ini berlangsung dengan jayanya. Antara barisan penaja yang terlibat ialah: Space Limitless selaku rakan strategik, Guitar Legend dan JS Music selaku penaja utama, Grand Darul Makmur Hotel sebagai hotel rasmi dan THR Gegar selaku radio rasmi.

Ditemubual pada sesi sidang media yang berlangsung di galeri pameran Guitar Legend Sdn Bhd, Din menyatakan bahawa hasrat Search untuk bertemu dengan peminat di Pantai Timur telah lama tersimpan dihatinya sejak sekian lama. Keterujaan jelas terpancar di wajahnya begitu juga anggota Search lain.

Menurut Kid selaku pemain gitar utama yang juga hadir bersama Yan(bass) dan Minn(drum), untuk “Konsert Search – Rock ‘N’’ Roll Pie” ini, para peminat di Pantai Timur khusunya di Kuantan bakal disajikan dengan seleksi istimewa lagu – lagu dari album Karisma, Rampage, Katharsis dan sudah tentu dari album Rock ‘n’ Roll Pie, tidak ketinggalan juga beberapa lagu dari album – album Search lain yang pastinya akan mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan “Mat Rock” suatu ketika dahulu.

Diajukan soalan mengenai tahap kredibiliti Denden Gonjalez memikul tugas berat selaku penyanyi utama yang setakat ini memberikan persembahan mantap pada siri persembahan yang terdahulu, Din menjelaskan bahawa usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan Denden di samping pimpinan dan tunjuk ajar yang diberikan kepada beliau telah meningkatkan keyakinan dan mutu persembahan yang bakal dipertontonkan nanti.

Turut bersetuju, Minn selaku pemain drum, yang juga menggalas tanggungjawab yang tak kurang beratnya apabila mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh arwah Yazid yang telah meninggal dunia pada 2019. Ujarnya lagi, masih banyak yang perlu dipelajari dari ‘otai – otai rock’ yang tak pernah lokek dengan ilmu untuk membimbingnya.

Yan, selaku pemain bass ketika ditanya mengenai apakah akan ada penampilan khas atau jemputan khas ke pentas di Kuantan nanti? “Ianya masih dalam proses perbincangan, dan ianya akan diumumkan sebaik sahaja segala usul dipersetujui” jelas Yan.

Search juga dalam perancangan untuk menghasilkan lagu – lagu baru bagi mengekalkan malar segarnya genre rock versi Search dan terus relevan dalam ekologi muzik tempatan yang kian mencabar dengan munculnya pelbagai genre dan subgenre yang tumbuh bagai cendawan akrab selepas hujan. “Perancangan untuk lagu baru memang ada cuma masa dan ketikanya masih belum sesuai”, ulas Din.

Untuk rekod, konsert Search Rockin’ on Rooftop yang telah berlangsung di Campbell Complex, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Jun 2022 yang lalu telah berjaya mencatat kehadiran lebih dari 3000 peminat dari seluruh Malaysia walaupun hujan lebat beberapa jam sebelum konsert bermula. Kejayaan ini memberi petanda bahawa Search masih berbisa dan terus relevan di persada muzik rock tempatan.

Bagi peminat – peminat Search, tiket – tiket telah pun mula dijual sejak Julai 2023 dengan harga RM95 (duduk) dan RM130(berdiri) boleh didapati secara atas talian di www.ticket2u.com.

 Ayuh! Kembali semarakkan nuansa rock nusantara, rock kita, rock sejagat!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page