October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

SELBIZ 2025 Perkukuh Ekosistem PKNS, Lebih 36,000 Pengunjung Di sasar

Spread the love

Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) sekali lagi hadir dengan kejutan baharu apabila edisi keempatnya diumumkan bakal berlangsung dari 28 hingga 30 November 2025 di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Dengan tema segar “Festival Inovasi”, acara anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) ini disokong oleh KRU Studios Sdn. Bhd. selaku pengurus acara rasmi. Penganjurannya dijangka lebih meriah dan berimpak tinggi dengan gabungan dunia perniagaan, teknologi serta hiburan.

Menurut Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof, SELBIZ terus konsisten menjadi platform pemadanan perniagaan antara syarikat multinasional, GLC, agensi kerajaan serta pemain industri Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Bertemakan Festival Inovasi, SELBIZ 2025 bukan sekadar ruang pameran, tetapi juga pemangkin penggunaan teknologi digital serta strategi baharu untuk membuka akses pasaran domestik dan antarabangsa,” jelasnya pada sidang media yang telah berlangsung Shah Alam Convention Centre pada 28 Ogos.

Tahun ini, pengisian SELBIZ 2025 lebih padat dengan pelbagai tarikan. Antaranya Konsert Gempak SELBIZ yang menampilkan barisan artis popular tanah air termasuk Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli, Adira Suhaimi, Black Hanifah, Nabila Razali, Zarul Umbrella dan ramai lagi.

Selain itu, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan kemunculan maskot animasi terkenal seperti Didi & Friends dan Umar & Hana, di samping maskot baharu Zan Orangutan dan Kikako Kids.

Tidak hanya hiburan, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti baharu seperti zon pempamer berteknologi tinggi, Family Fun Run, pertandingan e-Sukan, serta sesi interaktif untuk seisi keluarga.

Pengurus Acara SELBIZ 2025, Dato’ Norman Abdul Halim, menegaskan penganjuran kali ini tampil dengan pembaharuan dari segi strategi penjenamaan serta kandungan program.

“Selain konsert dan aktiviti riadah, pengunjung juga berpeluang menikmati tawaran istimewa daripada pempamer serta cabutan bertuah dengan hadiah menarik,” katanya.

Edisi 2024 sebelum ini mencatatkan lebih 36,000 pengunjung dengan penyertaan 200 usahawan serta hasil jualan melebihi RM3.55 juta, angka yang sekali lagi mahu diatasi pada tahun ini.

SELBIZ menjadi antara inisiatif strategik Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuh ekosistem PMKS menerusi pemerkasaan pasaran, peningkatan daya saing serta peluasan rangkaian perniagaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai SELBIZ 2025, orang ramai boleh melayari www.selbiz.my atau mengikuti laman rasmi Instagram, Facebook dan TikTok SELBIZ untuk perkembangan terkini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page