September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Selangor Sasar 50,000 PMKS Sertai Platform Selangor Tahun 2025

2 min read
Spread the love

Kerajaan negeri menyasarkan penyertaan sehingga 50,000 perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dalam program Platform Selangor (PLATS) menjelang tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sasaran itu yakin dicapai memandangkan pendaftaran penyertaan terkininya sudah mencecah 37,000 ahli sejak diperkenalkan pada Ramadan 2020 ketika negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bermula 500 ahli, seramai 133 daripadanya kekal dalam PLAT iaitu platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan kerajaan Selangor bagi membantu peniaga mikro, penjaja serta peruncit kecil mendigitalkan perniagaan, di samping mengatasi cabaran ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.

“Menerusi Bazar Ramadan Digital pertama bermula 2021, ramai usahawan tertarik kerana PLATS membenarkan golongan itu berniaga, mempromosikan gerai dan kemudahan yang ada melalui platform digital,” ujarnya kepada media sempena Malam Anugerah Platforms Selangor (MAPS) yang di adakan di Sunway Resort Hotel pada 12 Julai lalu.

Pada majlis itu, seramai 12 peserta dinobat terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menjalani PLATS Digital yang mewakili 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketika ini, katanya bilangan ahli paling ramai adalah dari Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan diikuti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“PLATS tidak akan terhenti begitu saja, kita akan terus menawarkan kemudahan termasuk pinjaman untuk memulakan perniagaan dan pada masa sama, memberikan bantuan serta geran digitalisasi.

“Kita memperoleh maklum balas baik kerana ia bukan hanya terhasil melalui inisiatif kerajaan negeri atau kehendak peniaga, tetapi ketersediaan pasaran di Lembah Klang dan daerah Hulu Selangor antara paling tinggi berkembang yang satu petunjuk sangat baik bahawa PLATS berkembang seperti diharapkan.

“Kita bukan mahu mengambil pasaran e-hailing, tetapi sebaliknya memastikan kolaborasi dengan semua supaya dapat menjadi platform pemasaran kepada produk lain,” ujarnya.

Sementara itu, Saipolyazan berkata, pihaknya membelanjakan RM5 juta setahun untuk mengembangkan program PLATS, sekali gus memperlihatkan komitmen MBI Selangor dalam membangunkan serta memupuk bakat keusahawanan dalam kalangan rakyat negeri ini.

“MAPS ini bukan sahaja platform mengiktiraf pencapaian peserta PLATS, tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk terus maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan terutama usahawan mikro Selangor pada masa hadapan,” katanya.

Setakat 30 Jun lalu, seramai 37,018 peniaga berdaftar dengan PLATS dan ia satu pencapaian memberangsangkan hasil program dan kempen dianjurkan dengan kerjasama 12 PBT di Selangor serta Selangor Youth Community (SAY) seperti PLATS Masuk Pasar (PMP), PLATS Masuk Bazar pada bulan Ramadan dan Program Usahawan U-PLATS Digital.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim; EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi; EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Saipolyazan M Yusof.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page