March 12, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

SELAK: Detik Ikon Seni Negara Dibekukan Dalam Lensa Hitam Putih

Spread the love

Dalam dunia seni yang semakin dikuasai imej digital dan paparan pantas di skrin, pameran fotografi SELAK tampil sebagai sebuah peringatan halus bahawa seni visual mempunyai roh dan jiwa tersendiri terutamanya apabila ia diterjemahkan dalam bentuk cetakan fizikal.

Menampilkan 12 karya fotografi hitam putih, pameran hasil sentuhan jurufoto profesional, Faizal Hussin, itu dibuka kepada orang ramai secara percuma bermula hari ini hingga 22 Februari di Kokopelli at Templer, Petaling Jaya.

Lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia fotografi, Faizal menggunakan medium hitam putih sebagai bahasa visual untuk mendokumentasikan serta meraikan sumbangan tokoh seni tanah air yang telah membentuk lanskap kreatif negara. Antara wajah ikonik yang dirakam termasuk Datuk M. Nasir, Awie, Amy Search, Ito Blues Gang dan Qi Razali figura yang pengaruhnya melangkaui generasi.

“SELAK adalah bentuk penghormatan saya kepada ikon seni yang telah memberi makna besar kepada muzik, lakonan dan penulisan tempatan. Setiap foto bukan sekadar potret, tetapi rakaman perjalanan, emosi dan pemikiran mereka,” ujarnya.

Bagi Faizal, pameran ini juga membawa mesej yang lebih besar tentang makna sebenar fotografi sebagai sebuah karya seni. Menurutnya, imej yang hanya kekal dalam bentuk digital masih belum ‘lengkap’ sehingga ia dicetak dan dipamerkan secara fizikal.

“Gambar yang belum dicetak sebenarnya belum siap. Apabila dicetak, barulah ia menjadi satu ‘piece of art’ yang boleh dilihat, disentuh dan dihayati dengan lebih mendalam,” ujarnya ketika ditemui pada sesi pratonton pameran, 11 Januari lalu.

Mengulas tentang kerjaya jurufoto, Faizal menegaskan bahawa profesion itu wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya kerana peranan mereka bukan sekadar merakam detik, sebaliknya turut membawa sudut pandang serta interpretasi tersendiri terhadap subjek yang dipilih.

“Jurufoto bukan hanya orang yang dijemput untuk ambil gambar. Kami ada pendapat, naratif dan tafsiran visual sendiri. Profesi ini perlu dihormati seperti kita menghormati doktor atau peguam,” katanya.

Dengan pendekatan minimalis dan suasana pameran yang intim, SELAK bukan sekadar sebuah pameran fotografi, sebaliknya menjadi ruang apresiasi terhadap legasi seni, perjalanan masa dan nilai penghormatan terhadap karya visual yang tulus.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page