October 12, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

SEKAI NO OWARI Umum Konsert Pertama di Malaysia, Zepp KL Jadi Lokasi Bersejarah Oktober Ini

Spread the love

Kumpulan muzik ikonik dari Jepun, SEKAI NO OWARI, bakal menjejakkan kaki ke Malaysia buat pertama kalinya dalam kerjaya mereka menerusi konsert SEKAI NO OWARI ASIA TOUR 2025「Phoenix」in KUALA LUMPUR, yang akan berlangsung pada 8 Oktober 2025 di Zepp Kuala Lumpur, jam 8 malam.

Konsert yang dibawakan oleh iMe Malaysia, dijangka menjadi antara acara muzik Jepun paling dinantikan tahun ini, dengan jaminan pengalaman persembahan yang menggabungkan visual futuristik, elemen teaterik dan muzik emosi mendalam – suatu gaya yang telah menjadi tanda tangan SEKAI NO OWARI sejak penubuhan mereka.

SEKAI NO OWARI, yang bermaksud “Penghujung Dunia”, terdiri daripada empat anggota: Fukase (vokalis), Nakajin (gitaris dan komposer), Saori (pianis), serta DJ LOVE (DJ bertopeng badut). Sejak debut rasmi mereka pada 2010, kumpulan ini mencetuskan fenomena dalam industri muzik Jepun dengan gabungan genre pop, rock dan elektronik, serta tema-tema naratif yang sering mengetengahkan dunia imaginatif dan harapan dalam kegelapan.

Antara lagu hits mereka yang mencuri perhatian termasuk ‘RPG’, ‘Starlight Parade’, ‘Habit’, dan ‘Dragon Night’ – karya-karya yang bukan sahaja menguasai carta di Jepun, malah membuka pintu kepada pasaran global. SEKAI NO OWARI turut pernah berkolaborasi dengan artis antarabangsa terkenal seperti Owl City dan Clean Bandit, mengukuhkan reputasi mereka di pentas antarabangsa.

Penampilan eksklusif mereka di Kuala Lumpur ini bakal menjadi satu kenangan bersejarah buat peminat tempatan, terutama mereka yang selama ini hanya menikmati persembahan kumpulan ini melalui skrin.

Berikut ialah struktur harga tiket konsert: VIP BOX (untuk 8 orang) – RM4,624, PS1 (Berdiri) – RM658. PS2 (Duduk) – RM458 dan PS3 (Duduk) – RM358

Semua harga belum termasuk caj pemprosesan RM4 dan cukai SST sebanyak 8%.

Tiket akan mula dijual pada Rabu, 23 Julai 2025, jam 12.00 tengah hari, melalui dua saluran rasmi menerusi BookMyShow dan Fantopia

Peminat dinasihatkan supaya membeli tiket hanya melalui saluran rasmi bagi mengelakkan sebarang penipuan atau pembelian daripada pihak tidak sah.

Untuk maklumat terkini dan pengumuman lanjut, ikuti saluran rasmi iMe Malaysia di platform Facebook, Instagram, TikTok, X, YouTube dan XiaoHongShu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page