Second Plan Pertaruh ‘Berhari Raya’, Angkat Nostalgia 60-an Sempena Syawal
Selepas melalui proses penjenamaan semula, kumpulan yang kini dikenali sebagai Second Plan tampil dengan buah tangan terbaharu sempena Aidilfitri menerusi single berjudul “Berhari Raya.”
Kemunculan lagu itu menjadi titik permulaan rasmi mereka di bawah nama baharu selepas tidak lagi menggunakan nama Sofazr, sekali gus membuka lembaran segar dalam perjalanan seni kumpulan berkenaan.
Gitarisnya, Zimi, berkata keputusan melakukan penjenamaan semula dibuat kerana kumpulan itu kini bergerak sebagai empat anggota tetap iaitu Zimi (gitaris), Amir (vokalis), One (dram) dan Fairouz (bassis).
“Berhari Raya” juga mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi lagu pertama mereka sebagai Second Plan, namun secara keseluruhannya ia adalah lagu raya ketiga pernah dihasilkan kumpulan itu selepas “Inilah Harinya” dan “Ingatan di Hari Raya.”
Menurut Zimi, konsep yang diketengahkan dalam lagu berkenaan mengekalkan semangat Syawal yang ceria dan penuh kegembiraan, namun diperkukuhkan dengan elemen light rock era 60-an bagi memberikan sentuhan nostalgia.
“Kami mahu pendengar rasa kemeriahan raya, tetapi dalam masa sama ada ‘feel’ klasik yang mengimbau muzik era 60-an. Ia memberi warna berbeza berbanding lagu raya moden yang biasa didengar,” katanya.
Menariknya, proses pembikinan lagu itu berjalan dalam tempoh singkat apabila keseluruhan rakaman dan susunan muzik disiapkan dalam masa sekitar dua hingga tiga hari sahaja.
Tambah Zimi, penghasilan “Berhari Raya” adalah sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka sejak dahulu.
“Lagu ini dihasilkan atas permintaan peminat. Jadi kami anggap ia sebagai hadiah istimewa buat mereka untuk menyambut Syawal,” katanya.

Dalam masa sama, Second Plan memberi bayangan bakal tampil dengan single terbaharu sejurus tamat musim perayaan, sekali gus membuktikan mereka kekal aktif dalam industri muzik tempatan.
Lagu “Berhari Raya” terbitan Nova Music Malaysia boleh distrim di semua platform digital bermula 27 Februari 2026, manakala muzik video rasminya akan dilancarkan menerusi saluran YouTube Nova Music Videos dalam masa terdekat.
Dengan identiti baharu dan semangat yang diperbaharui, Second Plan optimis untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam persada muzik tanah air.
