January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

SEARCH ‘Kiddin’ & SPIDER Gegarkan Panggung Anniversari, Persembahan Percuma Untuk Warga Kota

Spread the love

Dua nama besar rock tanah air, SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER, bakal bergandingan dalam sebuah acara muzik istimewa bertajuk GEGAR PANGGUNG, anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKKPS).

Acara yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 24 Januari 2026, bermula jam 8.30 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, merupakan sebahagian daripada program tahunan Semarak Seni @ Panggung, yang dilancarkan DBKL pada 13 Disember 2025.

Penampilan SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER dijangka menjadi tarikan utama memandangkan kedua-dua kumpulan legenda ini sentiasa mencatatkan sambutan luar biasa, malah sering merekodkan jualan tiket habis terjual bagi setiap konsert berbayar. Justeru, peluang menyaksikan persembahan mereka secara percuma di pentas terbuka ikonik ini dilihat sebagai penghargaan istimewa DBKL kepada warga kota dan pengunjung Kuala Lumpur.

GEGAR PANGGUNG akan dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Tom Raja Farah, diiringi Kombo dan Artis Budaya DBKL, sebelum diteruskan dengan persembahan utama SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER. Keseluruhan acara dijangka berlangsung hampir dua jam, dengan Nadia Hasnan bertindak sebagai hos.

Menurut DBKL, penganjuran GEGAR PANGGUNG merupakan antara inisiatif strategik bagi memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya yang progresif, di samping menarik pelancong domestik dan antarabangsa melalui penganjuran acara seni berkualiti tinggi secara berterusan.

Untuk rekod, Panggung Anniversari, yang dibina pada awal 1960-an, merupakan antara pentas seni terbuka terawal di ibu kota dan pernah menjadi saksi kepada pelbagai konsert serta program hiburan ikonik sejak era 1970-an hingga 1990-an. Melalui program Semarak Seni @ Panggung, DBKL menyasarkan panggung bersejarah ini kembali berfungsi sebagai pusat aktiviti seni terbuka yang aktif sepanjang tahun.

Justeru, warga kota dan peminat muzik rock dijemput hadir beramai-ramai ke Panggung Anniversari pada malam Sabtu ini bagi meraikan dua kumpulan legenda tanah air dalam sebuah malam yang dijangka penuh nostalgia dan gegaran muzik.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page