“Saya Suka Cabar Diri Buat Sesuatu di Luar Kotak.” – Dato’ Sri Alha Alfa
Oleh: Zizi Hashim
Beberapa agenda yang direncanakan bagi tahun 2024 telah diumumkan oleh figura bidang kecantikan tersohor, Dato’ Sri Alha Alfa pada petang 28 Disember sempena majlis pelancaran produk terbarunya bertempat di The Roomah, Publika. Tampil segak dan tampan dengan menggayakan busana blazer berona kelabu bercorak dan berkacamata hitam, Dato’ Sri Alha Alfa kelihatan ceria dan penuh teruja untuk berkongsi beberapa pengumuman penting dalam portfolio perjalanan karier beliau.
“Syukur alhamdulillah, hari ini saya teruja untuk membuat beberapa pengumuman istimewa pada semua. Terima kasih pada semua yang sudi hadir.” Dato’ Sri Alha Alfa memulakan bicara. “Buat masa ini saya giat menjalankan pelbagai aktiviti bersempena Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) selaku penaja utama, sibuk dengan jualan akhir tahun keluaran terbaharu Alha Alfa Cosmetics, begitu juga pada Februari tahun hadapan akan mulai sibuk selaku ‘Title Sponsor’ untuk konsert Mahalini.” cerita usahawan itu lagi. Nama pun usahawan, sememangnya berusaha untuk menjayakan pelbagai aktiviti dalam diari yang sentiasa padat.
“Jenama Alha Alfa Cosmetics baru-baru ini melakar sejarah dengan mencatat rekod di Malaysia Book of Records sebagai Highest Latitude Cosmetic Demonstration (Demonstrasi Kosmetik Latitud Tertinggi), serta pemegang rekod bagi kategori ‘individu’, adalah saya sendiri untuk gelaran yang sama, Highest Latitude Cosmetic Demonstration juga.” umum beliau sambil menguntum senyum. “Ini turut melibatkan kolaborasi sulung saya bersama syarikat penerbangan Air Asia Shop melalui produk terbaharu iaitu Lip Matte Gradient Lips Edition. Kini produk Alha Alfa berada di awan biru.” kata-kata itu disahut dengan tepukan gemuruh.
Memulakan kerjaya sebagai seorang MUA (Jurusolek Artis), Dato’ Sri Alha Alfa mengenang kembali serta memanjatkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh ramai rakan selebriti. Oleh yang demikian, beliau beranggapan dengan cara menaja anugerah-anugerah berprestij seperti AJL38 dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) merupakan cara beliau mengungkapkan terima kasih kepada sebuah industri yang amat bermakna bagi dirinya.
Dari seorang usahawan kosmetik yang berjaya, Dato’ Sri Alha Alfa kini lebih dikenali sebagai seorang selebriti melalui populariti yang diraihnya. “Saya hanyalah usahawan biasa, masih banyak yang perlu saya pelajari lagi. Hakikatnya saya tidak mempunyai apa-apa ‘niat khas’ untuk menampilkan sisi lain seorang ‘Alha Alfa’, saya cuma mahu memeriahkan lagi industri hiburan tanahair.” ungkap Dato’ Sri Alha Alfa dengan begitu merendah diri.
Keberadaan jenama AAC yang menembusi pasaran antarabangsa, selain Singapura dan Brunei, telah mengorak langkah lebih besar ke bumi Indonesia dan mempunyai peminat setianya sendiri. “Terdapat juga direct message yang diterima memberitahu AAC telah mulai mendapat tempat di hati pengguna Eropah dan Timur Tengah. Pujian terhadap kualiti produk AAC melimpah ruah, malahan ada yang meminta kami membuka cawangan disana. In shaa Allah pada tahun 2024 kami akan mula beroperasi secara rasmi di Indonesia.”
Kehadiran Datin Seri Umi Aida pada petang itu bukan sahaja sebagai tanda sokongan seorang rakan baik tetapi juga untuk mengumumkan keluaran produk minyak wangi Alha Alfa (AA) x Umie Aida. Dengan sangat berbangga, AAC memperkenalkan keluaran minyak wangi eksklusif bersama primadona filem melayu, Datin Seri Umi Aida. Manis dalam busana hitam putih, kemunculan Datin Seri Umi Aida sedikit sebanyak mencuri perhatian semua.
“Fokus utama saya kini adalah Alha Alfa Cosmetics (AAC). Saya akan pastikan jenama kami dapat bersaing seiring dengan jenama antarabangsa yang terlebih dahulu bertapak di industri kita. Dengan momentum yang ada pada jenama AAC, saya dan keluarga besar Alha Alfa Rich Legacy (AARL) menyimpan impian untuk meletakkan AAC sebagai jenama kecantikan nombor satu di pasaran Malaysia” begitu besar harapan diletakkan usahawan ini.
Selain dari itu, petang 28 Disember juga menyaksikan pelancaran Single terbaru duet diantara Dato’ Sri Alha Alfa dan Zara Zya melalui lagu “Cinta Agung” ciptaan sahabat baiknya, Yuka Kharisma. Turut merupakan seorang penyanyi dan komposer terkenal, Yuka Kharisma telah menyiapkan sebuah lagu untuk beliau ketika berseloroh meminta diciptakan sebuah lagu khas untuknya.
“Saya tak sangka Yuka ambil serius gurauan saya, bila diberitahu lagu dah siap, saya terkejut. Idea timbul secara santai, secara jujurnya saya tiada tujuan khusus disebalik penghasilan single ini.” Sambil ketawa kecil beliau menyambung, “Saya dan Zara Zya gemar berkaraoke, kami ada ‘geng karaoke’ dengan beberapa kenalan rapat yang lain. Oleh itu, saya pelawa Zara Zya untuk berduet bersama. Lagu ni dah siap tahun lalu, dah tiba masanya kami lancarkannya pada petang ini.”
Tidak berniat untuk bergelar artis, lagu “Cinta Agung” adalah hadiah persahabatan selama 10 tahun bersama Zarra Zya. Dato’ Sri Alha Alfa ingin mengabadikan persahabatan mereka dalam bentuk sebuah karya yang indah. “Saya nyanyi suka-suka dan tak terfikir sampai ke AJL, kelas vokal pun saya tak pergi.” tutur beliau sambil ketawa kecil. Apabila disamakan dengan usahawan yang lain seperti Dato’ Vida, Dato’ Aliff Syukri, beliau menambah “Saya sedia menerima kecaman dan anggap ia satu lumrah dalam industri hiburan. Sekarang ni, kecaman tu dah jadi kebiasaan. Datuk Seri Siti Nurhaliza pun kena kecam, apa lagi saya. Tak apalah, saya ok je, tak cuba tak tahu.”
“Saya suka cabar diri buat sesuatu di luar kotak. Andai benar saya dilihat sebagai seorang selebriti, semoga saya dikenali dan diingati kerana kehebatan produk kosmetik yang saya hasilkan, dan ini lah perancangan masa hadapan saya.” Sebaik sahaja selesai ditemuramah oleh wartawan, Dato’ Sri Alha Alfa dikejutkan dengan sebiji kek hari jadi bersempena ulangtahun kelahiran nya yang ke-35 yang jatuh pada 29 Disember. Kesemua yang hadir di sidang media telah menyanyikan lagu “Happy Birthday” beramai-ramai. Diucapkan selamat maju jaya buat seorang figura, selebriti dan usahawan humble yang penuh berwawasan, semoga tahun baru 2024 lebih bergemerlapan.