September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Saya Nak Belanja Pelajar IPT Tiket Konsert Sound Spirit “ – Datuk Zainalabidin

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Mengenali Datuk Zainalabidin selama ini sebagai seorang yang friendly, humble dan sangat suka berjenaka. Karektor ini membuatkan ramai berasa dekat, selesa dan mesra dengannya. Ada satu lagi sifat beliau yang telah menduduki carta hati paling teratas iaitu sifat dermawan beliau. Terkejut dan terharu apabila Datuk Zainalabidin mengumumkan “Saya nak belanja 510 kapasiti tiket untuk pelajar IPT yang tidak bernasib baik dan tidak mampu untuk membeli tiket konsert saya ini. Saya tahu tak semua mampu. Saya ikhlas, sebab saya nak mereka semua datang. Ada banyak yang saya nak kongsikan nanti.” Mendengarkan itu, ramai terkesima dibuatnya.

“Malahan saya menyeru pelajar-pelajar semua datang, katakan kalau tiket dah sold out pun takpe, datang je nanti. Kalau tak kisah, duduk bersila di lantai depan saya nanti. Kita berhibur sambil belajar. Bukan selalu dapat peluang macam ni kan, jom datang, saya nak belanja ni.” Begitu bersemangat sekali hujah Datuk Zainalabidin membuka bicara pada sidang media 28 November di Heritage Club, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini. Jom apalagi, bukan selalu dapat berintimasi begini dengan satu entiti bernama Datuk Zainalabidin.

“Kerana ianya bukan sekadar hiburan. Ianya dicampur-adukkan dengan pembelajaran. Sebuah konsert Edutainment, satu-satunya yang saya pentaskan demi mencari kelainan kerana saya ingin berkongsi pengalaman saya lebih dari 45 tahun dalam industri muzik ini. Terutamanya kepada pemuzik-pemuzik baru yang sedang belajar di IPT. Mereka ini adalah generasi pelapis yang bakal meneruskan legasi.”

Cukup disegani sebagai nama besar dalam industri seni tanahair, tercetusnya idea bagi konsert Edutainment luarbiasa diberi tajuk Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Semangat Bunyi) datangnya dari Datuk Zainalabidin sendiri. Malam penuh inspirasi dan keajaiban muzik ini dijadualkan berlangsung pada 20 Januari 2024 di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts (KLPAC). Berteraskan muzik sebagai degup jantung kehidupan, ritma yang bergema pada setiap jiwa di dunia, berbekalkan ambisi dan antisipasi, konsert Sound Spirit bakal mempersembahkan sesuatu yang di luar imaginasi.

Memberi penekanan terhadap 4 faktor iaitu minat, pengetahuan, usahasama dan edukasi, Sound Spirit sememangnya sebuah platform yang bijak dalam mengeratkan silaturrahim sesama rakan dalam industri yang sama. Muzikal extravaganza yang mendapat sokongan padu dari MyCreative Ventures, CIMB Artober dan Yayasan CIMB sebagai rakan rasmi ini turut menampilkan nama-nama besar seperti Michael Veerapan, Steve Thornton dan Sunil Kumar sebagai jentera yang menguatkan barisan ikon muzik negara. Memeriahkan lagi acara pada malam tersebut, kemunculan khas Pija Yasin dan penyanyi baru One Juicy juga bakal menarik perhatian ramai. Untuk makluman, Pija Yasin adalah Juara ‘Mentor’ Musim Pertama anjuran TV3,  yang merupakan protégé kepada Datuk Zainalabidin dan One Juicy merupakan salah seorang Penari B-Boy Terbaik Asia dan Juara ‘The Band’ program reality anjuran Astro Ria.

“Saya percaya acara kebudayaan sebegini perlu diberi banyak pendedahan kerana impak positif yang kekal diberikan pada kehidupan para pelajar. Dalam masa yang sama mewujudkan inspirasi dan kegembiraan, ini bukti bahawa muzik adalah satu kuasa yang sangat powerful.” tambah Datuk Zainalabidin lagi. “Pasukan produksi Sound Spirit berusaha untuk bekerjasama dengan beberapa penaja berpotensi yang memberi sokongan kewangan bagi menampung kos tiket konsert demi memastikan pelajar IPT yang kurang mampu dapat datang menimba ilmu dan berhibur.”

Majlis pada petang itu dimeriahkan dengan persembahan dari One Juicy melalui lagu cover Bruno Mars berjudul “Treasure”, Pija Yasin dengan lagu cover Lady Gaga iaitu “Always Remember Us This Way” dan persembahan yang paling ditunggu-tunggu dari Datuk Zainalabidin sendiri sebelum majlis berakhir. “Ada juga yang nak dengar orang tua menyanyi ya?” usiknya disambut gelak ketawa ramai. Seorang lagenda di atas pentas mengalunkan “Ikhlas Tapi Jauh” benar-benar menyerlahkan keikhlasan yang terpancar dari raut wajahnya, begitu tulus mahu berkongsi apa yang telah dilaluinya kepada generasi terkini sebagai kesinambungan sebuah legasi. Bergetar rasa di jiwa.

Sound Spirit menjanjikan lebih dari sekadar konsert biasa, ianya bakal meraikan pelbagai sektor bakat-bakat seni, kepimpinan dan kuasa muzik yang memberi inspirasi. Misi untuk mencipta satu pengalaman muzikal yang meninggalkan kesan mendalam pada setiap jiwa dan hati yang datang menyerikan malam itu nanti. Jom kita eksplorasi satu pengembaraan seni yang bakal menjadi satu ‘testament’ pada kuasa kolaborasi, pemahaman berisi dan bahasa universal pada semangat bunyi.

Tiket dijual pada harga RM110 dan RM210, dapatkan segera sebelum ternganga di www.cloudjoi.com/shows/zainalabidin-sound-spirit-concert


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page