November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Satwo Bermeditasi, mendeklamasi Antologi Cinta, Cita dan Emosi Melalui Senandung Indie-Folk Dalam “Di Persembunyian”

Spread the love

Teks Oleh: Sakka Emwai

Lantera indah menyiram lanai hati jiwa berdendang rona rasa wirama santai menyeru menyemai rasa cinta sesama insan membaja tenang tari sejahtera membenam hening hidup melontar jauh bara lara, bergemalah sakti Satwo.

“Di Persembunyian”, itulah tajuk album dari kumpulan indie-folk yang menggelarkan diri mereka “Satwo” disebut Sa – Two (bahasa inggeris untuk dua), nama yang cukup unik sesuai dengan corak warna muzik mereka bersulamkan untaian kata – kata yang membuai emosi, mendamai jiwa juga menyemai cinta, segar buat para peminat mereka yang amat menantikan album ini.

Satwo dianggotai oleh Maz sebagai vokalis, pemain piano dan synthesizer dan Rafiz sebagai vokalis dan gitaris, paduan dua insan seni muda yang kreatif dan dinamik ini memperlihatkan terhasilnya suatu indentiti tersendiri dalam penghasilan nuansa seni muzik mereka yang mampu untuk terbang lebih jauh di dalam atmosfera muzik tempatan mahupun antarabangsa.

Bernaung di bawah syarikat rakaman tersohor di Malaysia iaitu Luncai Emas Sdn Bhd yang diterajui oleh satu nama besar dalam industri muzik tanahair iaitu Dato M. Nasir, di samping mendapat kerjasama dari Muzium Muzik dan Jabatan Muzium Negara, Satwo amat berbesar hati kerana penantian penuh debaran penuh suka duka, tangis ketawa dan emosi mereka selama empat tahun berakhir apabila lahirnya album “Di Persembunyian” yang dianggap sebagai anak sulung mereka, memperjelaskan lagi bahawa kemunculan mereka di persada seni tanahair bukanlah hanya untuk seketika.

Bertindak sebagai penerbit album “Di Persembunyian” ini, Ilham, vokalis dan gitaris kumpulan Pitahati menyifatkan album ini yang teristimewa buatnya apabila keseluruhan album ini diterbitkan oleh beliau dan sesungguhnya beliau mencurahkan segala ilmu pengetahuan dan pengalamannya dalam bidang seni muzik bagi menghasilkan suatu karakter unik, kreatif dan eksentrik buat album yang beliau juga anggap sebagai anaknya dan berharap ianya dapat memberikan impak positif dan memeriahkan lagi industri muzik tempatan.

Bercerita tentang penulisan lirik, Rafiz banyak menulis tentang perihal kisah – kisah yang berlaku disekitarnya dan sedikit pengalaman peribadi disamping bereksperimentasi dalam karyanya yang beliau anggap masih banyak yang harus diterokai dan dipelajari namun Rafiz tetap berpuashati dalam penulisannya dalam album ini dan berharap semoga ianya mendapat tempat di hati para pendengar dan peminat yang baru mengenali mereka mahupun yang telah lama mengetahui kewujudan Satwo.

Maka, terimalah “Di Persembunyian” oleh Satwo yang penuh curahan jiwa, emosi, senyum tangis, keringat dan air mata, semoga terhibur.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page