May 16, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Saturday Night – Celebrating Bee Gees” Serikan Zepp Kuala Lumpur Selama Dua Malam

Spread the love

Fenomena muzik disko era 70-an bakal menggegarkan ibu kota apabila konsert istimewa Saturday Night – Celebrating Bee Gees berlangsung selama dua malam berturut-turut pada 31 Julai dan 1 Ogos 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh Milestone Production, konsert ini membawa peminat mengembara semula ke zaman kegemilangan Bee Gees, kumpulan legenda yang merintis fenomena “night fever” dalam sejarah muzik dunia.

Menghimpunkan lagu-lagu abadi daripada arkib empat dekad Bee Gees, konsert ini menampilkan kumpulan tribute terkenal dari United Kingdom, Saturday Night Bee Gees, yang terkenal dengan persembahan vokal yang mirip dengan adik-beradik Gibb, Barry, Robin dan Maurice. Barisan enam pemuzik profesional ini telah mendapat pujian meluas kerana berjaya menyalurkan semula kehangatan dan semangat asal Bee Gees di pentas.

Antara lagu-lagu ikonik yang akan dipersembahkan termasuk “Stayin’ Alive,” “Night Fever,” “How Deep Is Your Love,” “Massachusetts,” “To Love Somebody,” “You Win Again” dan “Tragedy.” Gabungan harmoni falsetto yang memukau, susunan muzik yang autentik dan suasana pentas penuh warna-warni menjanjikan satu pengalaman konsert yang sarat nostalgia dan penuh tenaga.

“Kami mahu penonton merasai sendiri keajaiban muzik Bee Gees, bukan sekadar mendengar, tetapi menghayati semangat era itu seperti ia baru semalam berlaku,” kata wakil Milestone Production dalam satu kenyataan.

Tiket kini boleh dibeli dengan harga bermula dari RM198 hingga RM638, manakala Platinum Box untuk 6 orang ditawarkan pada harga RM4,800. Semua pembelian tertakluk kepada caj tiket RM4 dan caj transaksi RM10.

Diskaun sehingga 25% turut ditawarkan kepada pemegang kad Maybank, tertakluk kepada terma dan syarat. Untuk maklumat lanjut, layari: www.milestoneentertainment.com

Tempahan berkumpulan, pakej korporat atau pembelian oleh golongan OKU boleh dibuat dengan menghubungi Pn. Sha di talian +6012 332 3024 atau emel ke [email protected].

Sebagai info band ini telah ditubuhkan pada tahun 1958 di Australia, Bee Gees merupakan trio adik-beradik — Barry, Robin, dan Maurice Gibb — yang kemudiannya mencipta nama sebagai antara kumpulan pop paling berpengaruh sepanjang zaman.

Mereka memulakan kerjaya dengan lagu-lagu balada seperti “To Love Somebody” dan “Massachusetts” sebelum meledak di era disko lewat 70-an dengan runut bunyi filem Saturday Night Fever yang menampilkan lagu-lagu seperti “Stayin’ Alive,” “More Than A Woman,” dan “How Deep Is Your Love.”

Dengan lebih 120 juta unit rekod terjual, 30 lagu Top 40, 5 Anugerah Grammy, serta pelbagai penghormatan termasuk keanggotaan dalam Rock and Roll Hall of Fame dan Songwriters Hall of Fame, pengaruh Bee Gees melangkaui generasi dan genre.

Walaupun dua daripada mereka telah pergi, Maurice pada tahun 2003 dan Robin pada 2012.  Barry Gibb, kini berusia 75 tahun, kekal sebagai penjaga legasi muzik Bee Gees yang tak lapuk dek zaman.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page