October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Satu Malam Penuh Nostalgia” The A.C.A.B. Janji Persembahan Berkualiti

Spread the love

‘Satu malam penuh nostalgia dan janjikan persembahan berkualiti. Itu ikrar kumpulan yang condong ke arah nuansa ‘britpop’ atau lebih mudah digelar sebagai ‘indie’ setelah bertahun-tahun ‘setia’ di bawah panji-panji skinhead/ Oi/ street rock.  Mungkin kedengaran agak klise, namun ianya sarat dengan mesej yang mendalam.

‘This Is The A.C.A.B – Indie Nostalgic Showcase 2024’ bakal berlangsung di Auditorium Muzik Bentley Mutiara Damansara pada 1 Jun dan bermula pada jam 8.30 malam itu hanya akan berlangsung pada 1 malam sahaja sekaligus ‘mematikan’ hasrat peminat setia The A.C.A.B untuk melihat mereka beraksi di lokasi lain.

“Ini adalah malam yang penuh nostalgia dan hanya akan berlaku pada malam itu sahaja.  Kami tidak akan mengadakan siri jelajah dimana-mana lokasi lain.  Justeru itu kami harap peminat untuk hadir dan bersama-sama mencipta memori dan nostalgia”, ujar Megat ketika di temui di Bsync Studio, Kuala Lumpur pada 29 Mei lalu.

“Kami faham ramai peminat yang mahu kami beraksi di tempat lain, tetapi kami menganggap bahawa showcase ini sebagai showcase eksklusif sebagaimana album ‘This Is The A.C.A.B’ yang mengetengahkan muzik indie”, ujarnya lagi.

Mungkin ramai peminat baharu yang keliru dengan ‘anutan’ muzik ACAB dan The A.C.A.B, meskipun keduanya masih mengekalkan jenama ‘ACAB’ itu sendiri.

“Keduanya adalah berbeza, selain muzik dan melodinya paksinya juga lain begitu juga dengan imej yang kami tonjolkan.  The A.C.A.B lebih santai dimana semuanya di ilhamkan selepas saya kembali semula ke Malaysia kerana melanjutkan pelajaran di London”, ujar Megat

“Kami berharap peminat dapat berkumpul untuk mengimbau nostalgia bersama lagu-lagu popular The A.C.A.B. Inilah masanya untuk berkumpul semula kerana showcase ini akan diadakan hanya satu malam sahaja”, tegasnya lagi.

“Kami bersyukur tiket ‘early bird‘ sudah habis dijual, namun untuk 2 kategori tiket lagi ianya masih ada berbaki dan besarlah harapan kami agar ianya habis terjual sebelum showcase bermula” tambahnya.

Sementara itu, Mono (Bass), Edy J (Gitar) dan Irfan (Drums) menyifatkan bahawa ‘This Is The A.C.A.B – Indie Nostalgic Showcase 2024’ adalah sebuah persembahan yang cukup istimewa dan bermakna buat diri mereka selain ianya merupakan ‘hadiah’ yang cukup bermakna untuk semua peminat yang selama ini menyokong dan menerima album yang telah diriliskan pada tahun 2005.

“Ini bukan showcase biasa dan sudah pasti kami menjanjikan persembahan terbaik selepas 18 tahun berehat, The A.C.A.B kembali dalam sebuah showcase dan mempersembahkan lagu dalam satu-satunya album dan barisan anggota asal”, ujar mereka.

“Selain daripada kesemua lagu yang terdapat di dalam album ‘This Is The A.C.A.B’ kami juga akan membawakan lagu-lagu ikonik ACAB khas buat fanatika kami serta beberapa buah lagu ‘cover’ yang menjadi inspirasi buat kami”, tambah mereka.

Untuk mengembalikan sebuah memori dan meninggalkan momen indah untuk para peminat, The A.C.A.B kini giat membuat latihan selain meminta ‘penggemar’ ACAB agar turut hadir mencipta sebuah evolusi yang mungkin tidak akan berulang kembali.

Buat mereka yang belum memiliki album ‘This Is A.C.A.B’, anda boleh membelinya di lokasi showcase berlangsung.  Selain itu anda boleh memiliki merchandise lain seperti T-Shirt, Poster, Lanyard dan sebagainya di lokasi yang sama.

Pembeli tiket juga berpeluang untuk hadir ke sesi ‘Meet and Greet’ tanpa perlu membuat penambahan kos kewangan kerana INI ADALAH… A.C.A.B. & KAMI DATANG KEPADA ANDA

Untuk rekod The A.C.A.B. telah merakamkan album Indie berjudul This Is The A.C.A.B pada 2005 seterusnya pernah menjadi album terlaris di Malaysia dalam Carta RIM pada 2006.

Peminat boleh mendapatkan tiket dengan harga ‘early bird’ RM95 (Habis Terjual). Namun, jangan risau, anda masih boleh mendapatkan tiket pre-sale pada harga RM115 atau memilih untuk membeli tiket di tempat pada harga RM135. Untuk pembelian tiket, layari www.myticketempire.com/thisistheacab.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page