September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sarawak Menyambut Baik Cadangan Penganjuran Hammersonic

2 min read
Spread the love

Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak meyambut baik jika benar pesta muzik metal terbesar Asia Tenggara, Hammersonic, akan dianjurkan di Sarawak kata menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Ini adalah kerana Sarawak sudah terbukti mampu menjadi tuan rumah acara-acara hiburan yang bertaraf antarabangsa.

Kata beliau ketika ditemuramah oleh wartawan di sebuah sidang media di Kuching, Sarawak baru-baru ini, kredibiliti Sarawak sebagai tuan rumah kepada acara-acara hiburan yang bertaraf antarabangsa terbukti apabila Sarawak mampu menganjur acara-acara seperti Rainforest World Music Festival secara tahunan dimana acara tersebut biasanya akan mendapat sambutan yang baik dari peminat muzik bukan sahaja dari Sarawak dan seluruh Malaysia, malahan dari luar Malaysia juga.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah – gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Abdul Karim bagaimanapun berkata pihak beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai penganjuran pesta Hammersonic tersebut di Sarawak dan promosi cadangan untuk mengadakan pesta tersebut di Sarawak sebelum ini mungkin hanya merupakan sebuah cara mereka yang berminat untuk menganjurkan pesta tersebut untuk mempelawa kementeriannya terlibat dalam menyediakan dana penganjuran.

Walaupun menyambut baik cadangan untuk menganjurkan pesta Hammersonic  di Sarawak, dan jikalau benar pesta tersebut akan dianjurkan di Sarawak, Abdul Karim berharap artis-artis dan pengunjung dari luar Malaysia yang terlibat dengan pesta tersebut akan mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ada di negeri Sarawak dan Malaysia kerana Malaysia seperti negara-negara lain mempunyai peraturan dan undang-undang mereka yang sendiri.

Hammersonic adalah merupakan sebuah pesta muzik metal tahunan yang dianjurkan di Jakarta, Indonesia semenjak tahun 2012. Baru-baru ini terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa penganjur pesta tersebut mempunyai minat untuk menganjurkan pesta itu di Sarawak. Antara tempat yang diura-urakan akan menjadi tempat berlangsungnya pesta tersebut adalah di Kampung Budaya Sarawak yang terletak 35.4 kilometer dari pusat bandaraya Kuching, Sarawak.

Untuk rekod, Kampung Budaya Sarawak adalah merupakan tempat di mana pesta muzik antarabangsa tahunan Rainforest Music Festival diadakan setiap tahun semenjak tahun 1998 dan jikalau penganjur Hammersonic inginkan sebuah tempat yang sesuai untuk menganjurkan sebuah pesta di Sarawak,Kampung Budaya Sarawak adalah salah satu tempat yang sesuai di Sarawak bagi tujuan tersebut.

Seperti yang ramai sudah mengetahui, Hammersonic adalah pesta muzik metal terbesar di Asia Tenggara dan pesta itu pernah menyaksikan penampilan kumpulan-kumpulan hebat dan terkenal seperti Slipknot, Kreator, Megadeth, Morbid Angel, Asking Alexandria, Suffocation, Cradle of Filth, As I Lay Dying, Cannibal Corpse, Mayhem dan banyak lagi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page