November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sambutan Untuk Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota Di Kota Kinabalu Meriah

Spread the love

Ratu rock Malaysia, Ella, telah berjaya memukau peminatnya dengan sebuah persembahan yang tidak dapat dilupakan sewaktu berlangsungnya konsertnya yang berjudul ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ (Edisi Sabah) di Sabah International Convention Centre (SICC) minggu lepas. Konsert yang diadakan pada hari Sabtu (Jan 20) dan bermula jam 8.30 malam itu juga menampilkan pelbagai lagu hits Ella yang berjaya disampaikannya kepada peminat pada malam itu yang merentasi pelbagai generasi, sambil mengesahkan statusnya sebagai salah seorang bakat muzik ikonik dari Malaysia.

Selain daripada itu, peminat-peminat Ella juga terkesima dengan bunyian tradisional di konsert rock kerana sebuah persembahan kejutan yang dibawakan oleh Kumpulan Budayawan dengan tarian tradisional Sabah turut diadakan sewaktu berlangsungnya konsert tersebut. Ianya ditampilkan sebagai penghargaan kepada negeri Sabah yang penuh dengan budaya, menjadikan acara tersebut sebuah pengalaman yang tidak mungkin boleh dilupakan oleh mereka yang hadir menonton konsert tersebut.

Konsert di Kota Kinabalu, Sabah itu merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh peminatnya di Sabah dan SICC meriah dengan keterujaan peminat Ella kerana mereka kelihatan tidak sabar-sabar menanti ketibaan ratu rock itu. Dari saat Ella naik ke pentas, suasana dipenuhi tenaga and para peminatnya nyata tidak kecewa dengan apa yang dialami oleh mereka pada konsert tersebut.

Pengalaman konsert yang sangat menakjubkan itu sebenarnya dibawakan oleh penganjur acara terkemuka, Hitman Solutions bersama RockQueen dan selepas konsert itu melabuhkan tirainya, Ella juga mengatakan yang beliau berasa sangat-sangat tersentuh dengan sambutan yang diterima dari peminat-peminat dan memberikan ucapan terima kasih kepada ‘urang’ Sabah atas sokongan yang tidak terhingga.

“Saya berharap semua orang yang hadir ke konsert malam ini dapat jadikan ini suatu memori yang tidak dapat dilupakan,” kata Ella melalui sebuah kenyataan akhbar yang disediakan oleh penganjur selepas konsert tersebut.

Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, telah menjadi tokoh terkemuka dalam persada muzik Malaysia sejak 1980-an. Dikenali dengan vokal yang kuat dan persona pentas yang dinamik, dia dengan cepat menjadi terkenal setelah muncul pada pertama kalinya sebagai penyanyi utama kumpulan rock Ella & The Boys. Sumbangannya kepada genre rock di Malaysia adalah penting, dan pengaruhnya melangkaui pelbagai generasi pendengar muzik.

Siri konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang bermula di Axiata Arena Bukit Jalil berjaya melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan ‘Most Concert Tickets Sold-Out: 10,000 Tickets in 24 Hours’ oleh The Malaysia Book of Records. Ianya juga berjaya mengumpulkan 14,000 Ellasgang di Spice Arena Pulau Pinang selepas itu, dan kini, di Kota Kinabalu, Sabah, ianya juga mempunyai kejayaannya yang tersendiri.

“Kota Kinabalu ‘special’ dan dekat di hati saya kerana di sinilah lokasinya saya dan suami mula berkenalan sewaktu mula-mula bercinta dahulu dan menjadi memori terindah kami,” kongsi Ella tentang Kota Kinabalu sebagai sebuah lagi lokasi untuk jelajah konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota tersebut.

Konsert yang berlangsung sekitar dua jam lebih di bawah bimbingan pengarah muzik tersohor, Dato’ Acis tersebut turut disajikan dengan hampir 30 buah lagu di antaranya Standing In The Eyes Of The World, Kesal, Retak dan Anak Patung. Walaupun malam itu merupakan lokasi keempat untuk konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, namun peminat masih mempunyai permintaan untuk jelajah tersebut untuk di teruskan di lokasi-lokasi lain.

Menurut Rohit Rampal yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Hitman Solutions, kejayaan demi kejayaan berjaya mereka raih melalui siri jelajah konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota itu adalah untuk peminat yang ingin merasakan konsert bertaraf antarabangsa untuk artist lokal kesayangan mereka.

“Kami di Hitman Solutions akan terus memberikan kepuasan yang maksimal buat penggemar muzik di Malaysia, dan nantikan pengumuman kami yang seterusnya,” kata Rohit.

Penganjur juga mengatakan bahawa konsert gilang gemilang itu tidak mungkin dapat di teruskan tanpa sokongan dari rakan-rakan penaja yang telah bersama-sama menjayakan Jilid Akir: Ella Puteri Kota tersebut seperti Era Sabah & Sarawak yang merupakan radio rasmi, Imago Shopping Mall (rakan pusat membeli-belah rasmi), Ming Garden Hotel and Residences (rakan hotel), D’Bundle Mania, Jee Harris Corporation, Film Horizon, BluPrints, Mangkuk Malaysia (rakan sokongan) dan Rafa Travel yang merupakan rakan pengangkutan rasmi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page