Sambutan Luar Biasa, Inteam Umum Lokasi & Tarikh Baharu Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun

Foto Kredit: Subky Kelkatu TV
Disebabkan sambutan luar biasa yang tidak disangka-sangka, kumpulan nasyid terkenal tanah air, Inteam, mengumumkan perubahan lokasi dan tarikh bagi Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun yang dijadualkan berlangsung sempena ulang tahun perjalanan seni mereka.
Konsert tersebut kini akan berlangsung pada 28 September 2025 di Idea Live Arena, Petaling Jaya, sebuah lokasi baharu yang lebih besar dan mampu memuatkan kira-kira 5,000 penonton.
Menurut anggota Inteam, Hazamin Harun, keputusan ini dibuat selepas pihak mereka menerima permintaan tinggi daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket untuk konsert asal yang diumumkan di Zepp Kuala Lumpur.

“Kami tidak menyangka sambutan untuk konsert istimewa ini sangat hebat. Tiket konsert sebelum ini habis terjual dalam tempoh kurang dua jam satu kejutan buat kami. Ramai yang masih belum berpeluang mendapatkan tiket, jadi kami buat keputusan untuk berpindah ke lokasi yang lebih besar,” katanya pada sidang media khas di D’Intan Hall, Sri Damansara yang telah berlangsung pada 27 Mei lalu.
Hazamin turut memaklumkan bahawa lokasi baharu ini dipilih selepas beberapa perbincangan terakhir dilakukan memandangkan Idea Live Arena masih mempunyai kekosongan tarikh, namun mereka perlu mengubah tarikh persembahan asal dari 27 ke 28 September.
Sementara itu, vokalis kumpulan, Mohd. Syahril Abdul Khalid, menyatakan rasa syukur atas sokongan luar biasa daripada peminat.

“Ramai juga mencadangkan agar kami tambah satu malam lagi. Namun, kekangan jadual kerja menyebabkan kami hanya mampu anjurkan satu malam, tapi kami pastikan ia berlangsung di lokasi yang lebih besar demi memberi peluang kepada lebih ramai,” katanya.
Dengan perubahan ini, sebanyak 2,500 tiket tambahan akan mula dijual kepada umum mulai 14 Jun 2025 menerusi platform Ticket Empire melalui laman rasmi konsert di www.kasihkekasih.com.
Konsert istimewa ini bakal menampilkan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia daripada katalog hits mereka termasuk “Nur Kasih”, “Setanggi Syurga”, “Kasih Kekasih”, dan banyak lagi. Turut menjadi sorotan ialah segmen khas penampilan dua anak lelaki Allahyarham Suhaimi Saad, bekas anggota Inteam, bagi mengenang jasa serta legasi seni beliau.
“Kami mengenali anak-anak arwah sejak kecil dan mereka memang berbakat dalam nyanyian serta alat muzik. Ini juga sebagai penghormatan kepada arwah Suhaimi yang pernah menjadi sebahagian perjalanan 25 tahun kami,” tambah Hazamin.
Konsert ini dijangka menjadi momen bersejarah buat peminat muzik nasyid tanah air dan satu penghargaan istimewa buat semua yang telah mengikuti perjalanan seni Inteam sejak dua dekad setengah lalu.