September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Saiful Jaicob Bangkit Lagi: Single Terbaru ‘Kali Kedua’

2 min read
Spread the love

Saiful Jaicob, atau nama sebenar Md Noor Saifullah, merupakan seorang penyanyi dan komposer dari Sabah yang kini kembali menghangatkan industri muzik dengan single terbarunya yang berjudul “Kali Kedua”. Lagu ini merupakan ciptaan Saiful sendiri, manakala liriknya ditulis oleh Kent. Proses rakaman dilakukan di Patauboys Home Studio, Sabah.

Sebelum ini, Saiful pernah merilis beberapa single pada tahun 2014 dan memulakan langkah serius dalam dunia nyanyian pada tahun 2017 dengan menyertai sebuah program anjuran Luncai Emas bersama beberapa komposer tempatan Sabah yang lain. Dari situlah bermulanya perjalanan Saiful dalam merakamkan lagu baru untuk tahun 2024 yang berjudul “Kali Kedua”. Setelah siap, lagu ini dipersetujui untuk diedarkan secara digital oleh Luncai Emas.

Menurut Saiful, lagu ini menceritakan tentang keteguhan prinsip seseorang yang pernah ditinggalkan tetapi kemudian dirujuk kembali, namun menolak dengan sepenuh hati. Kisah pahit akibat ditinggalkan meninggalkan kesan yang mendalam dan memadamkan perasaan untuk membina semula cinta yang telah musnah.

Walaupun kadang-kadang terfikir untuk memberi peluang kedua, ia hanya sebagai khayalan demi meneruskan hidup daripada janji yang tidak pasti kesudahannya. Kesengsaraan itu biarlah hanya sekali dan tidak akan berulang untuk kali kedua.

Selain itu, single “Kali Kedua” telah berjaya menjadi pencalonan baru dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) pada 1 April 2024 dan kini sudah memasuki minggu ke-13 serta menduduki tangga ke-2.

“Kent yang hantar lagu ini pergi RTM Sabah, dan masuk dalam pencalonan baru. Akhirnya RTM Sabah hubungi saya selepas lagu ini lulus untuk siaran. Mungkin rezeki saya,” jelas Saiful Jaicob.

“Saya amat terpegun kerana lagu ini telah menduduki tangga ke-2 dan berharap ia boleh bertahan hingga ke minggu akhir sekaligus menjuarai dalam Carta Lagu Artis Sabah 2024,” ujar Saiful Jaicob lagi.

Buat masa ini, Saiful Jaicob akan meriliskan single “Kali Kedua” di semua saluran digital mulai 5 Julai 2024 serta official audio di YouTube. Para peminat boleh membuat undian untuk lagu ini di ruangan Facebook Carta Lagu Artis Sabah.

Menurutnya “semoga lagu ini berjaya memikat pendengar dan berkembang di seluruh Sabah serta Semenanjung Malaysia”.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page