SAH Entertainment & Universal Music Malaysia Hadir dengan Konsert Eksklusif 2025

Tahun 2025 bakal menjadi saksi kepada gelombang baharu dalam industri muzik Malaysia! SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music Malaysia mengumumkan penganjuran tiga konsert mega melibatkan artis terkemuka Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks. Lebih menarik, konsert ini bukan hanya berpusat di Malaysia tetapi turut menjengah peminat di Singapura, memperkukuh kehadiran muzik tanah air di rantau ini.
Menurut Sufi Rashid, penganjur utama konsert ini, kerjasama ini merupakan satu strategi bagi memperkasakan artis tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Kami berbangga dapat membawa nama besar seperti Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks ke pasaran lebih luas. Dengan kolaborasi bersama Universal Music Malaysia, kami yakin ini adalah langkah ke hadapan untuk industri muzik kita,” katanya penuh optimis.

Jadual Konsert SAH Entertainment 2025:
🎤 31 Mei 2025 – Ernie Zakri Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
🎤 Ogos 2025 – DOLLA Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
🎤 12 Julai 2025 – Insomniacks Live in Kuala Lumpur (Zepp Kuala Lumpur)
🎤 November 2025 – Insomniacks Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
Dengan pemilihan lokasi ikonik seperti Capitol Theatre dan Zepp Kuala Lumpur, setiap konsert dijanjikan membawa pengalaman muzik yang lebih eksklusif, lengkap dengan teknologi audio dan visual bertaraf dunia.
Ernie Zakri, yang baru sahaja menggegarkan pentas Konsert Aura dan AJL39, mengambil sedikit masa untuk berehat sebelum bersedia kembali bagi konsert solonya di Singapura.

“Saya sangat teruja untuk kembali ke Singapura! Ini adalah konsert solo pertama saya di sana, dan saya tahu peminat Singapura sentiasa memberikan sokongan luar biasa. Saya mahu memberikan yang terbaik buat mereka!” ujar Ernie penuh semangat.
Bagi DOLLA, peluang untuk beraksi secara solo di Singapura adalah satu impian yang menjadi kenyataan.

“Kami berjanji akan memberikan persembahan yang tidak akan dilupakan! Ini adalah malam yang kami nanti-nantikan, dan kami harap peminat akan menyanyi bersama kami!” kata Sabronzo mewakili kumpulan tersebut.
Sementara itu, Insomniacks menyifatkan konsert yang bakal berlangsung sebagai pencapaian terbesar mereka.

“Tahun ini adalah tahun bermakna buat kami. Akhirnya, kami berpeluang untuk beraksi di pentas yang lebih besar. Kami berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong. Jumpa anda semua di Zepp KL dan Capitol Theatre nanti!” kata mereka dengan penuh keterujaan.
Kolaborasi ini bukan sekadar penganjuran konsert, tetapi satu langkah penting dalam usaha menaikkan martabat muzik Malaysia ke peringkat serantau. Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, kerjasama ini bertujuan untuk memperkembangkan lagi pengaruh Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks dalam kalangan peminat muzik di Asia Tenggara.
“Kami yakin bahawa dengan gabungan kreativiti dan pengalaman SAH Entertainment, kita mampu membuka lebih banyak peluang untuk artis tempatan menyerlah di arena antarabangsa,” katanya.
Bagi peminat yang tidak mahu terlepas pengalaman konsert yang epik ini, jangan lupa ikuti laman sosial rasmi SAH Entertainment untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket. Nantikan malam-malam yang akan menggamit kenangan indah dan membakar semangat industri muzik tempatan.