Sabyan Kembali Ubat Rindu Peminat
Meskipun pernah beberapa kali mengadakan konsert di Malaysia, namun aura Sabyan masih mampu memukau pesona peminatnya apatah lagi lontaran lagu-lagu berkonsepkan relegi yang punya fanatiknya tersendiri.
Kali pertama mereka tampil dengan jenama Sabyan Gambus, di Stadium Malawati Shah Alam menjadi saksi kehebatan mereka pada ketika itu. Fenomenanya masih lagi mampu menerjah halwa telinga peminat.
Justeru itu, Sabyan sekali lagi bakal membawa hadirin untuk bernyanyi bersama rangkaian lagu-lagu popular mereka seperti Deen As Salam, Ya Habibal Qolbi, Rahman Ya Rahman, Ya Asyoqal dan sebagainya.
Konsert anjuran Paksi Jayamas Sdn Bhd yang bertemakan “Alunan Puitis Cinta Illahi”, akan diadakan di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka pada 26 Ogos 2023.
Mengulas mengenai konsert itu, Nissa berkata, mereka sangat teruja kerana pertama kali ke Melaka dan berhasrat mencuba makanan enak di negeri Hang Tuah itu.
“Sabyan teruja ingin mengadakan konsert di Melaka dan saya teringin mencuba makanan enak di sana kerana kunjungan kami adalah yang pertama kali ke negeri itu.
“Kami berharap jualan tiket Sabyan akan mendapat sambutan dan yakin peminat di sini menerima kehadiran kami (Sabyan) untuk konsert itu dengan baik,” katanya.
Kontroversi peribadi dilalui anggota Sabyan, Nissa dan Ayus tidak menggugat mereka daripada diterima baik peminat di Indonesia yang masih menyokong karya-karya lagu dihasilkan termasuk hadir menyaksikan konsert dengan sambutan baik dan positif.
Nissa ditemui berkata, walaupun dia dan Ayus terkait kontroversi peribadi, namun bersyukur Sabyan masih mendapat sokongan daripada kumpulan peminat setia mereka yang tetap hadir memberi dukungan pada setiap acara hiburan disertai.
“Alhamdulillah, peminat Sabyan masih ‘stay’, masih banyak yang sokong kita lagi. Alhamdulillah, kita juga ada buat pertemuan dengan mereka secara persembahan konsert akustik di Bandung. Syukur hingga ke saat ini mereka datang memberikan sokongan,” katanya kepada Harian Metro.
“Banyak doa dan sokongan juga diberikan masyarakat, begitu juga daripada teman-teman rapat. Malah, mahu tidak mahu tetap kena bangkit juga kerana perlu melanjutkan perjalanan kehidupan ini,” tambah Ayus.
Meskipun populariti Sabyan lebih terarah kepada Nissa atau nama sebenarnya Khoirunnisa Komarudin malah ianya diakui anggota lain, namun Ahmad Fairuz atau Ayus selaku pemain keyboard, Anisa Rahman (vokal kedua), Tubagus Syaifullah (Tebe, pemain biola), Sofwan Yusuf (Wawan, perkusi) dan Kamal (darbuka) merasa cukup selesa kerana ianya sekaligus memartabatkan jenama Sabyan.
Kepada seluruh peminat Sabyan seluruh Negara dan Asia Tenggara khususnya Melaka. Jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan persembahan istimewa Sabyan yang julung kalinya di Melaka. Tiket boleh dibeli menerusi online di www.ilassoticket.com.