Ryan Bakery Sentuh Emosi dengan “Raya Dipelukkan Mak” – Sarat Air Mata & Pengajaran

Biasa kita melihat Ryan Bakery menghiburkan dengan gelagat lucunya, namun kali ini dia tampil dengan sisi berbeza—lebih emosional, lebih menyentuh jiwa. Filem pendek “Raya Dipelukkan Mak”, yang dilancarkan sempena Aidilfitri tahun ini, bukan sekadar tontonan biasa, tetapi sebuah karya yang mampu mengundang air mata dan menyentuh hati.
Mengisahkan Aman dan Mak Ani, dua beranak yang hidup tanpa kehadiran seorang bapa, naskhah ini membawa kita menyelami realiti hubungan keluarga yang sering kali teruji oleh keadaan dan perasaan yang tidak terungkap. Melalui kisah ini, penonton dibawa menyedari betapa kadangkala niat baik seorang anak dalam menjaga hati ibu bapa, tanpa sedar, sebenarnya boleh melukakan mereka.

Ryan Bakery bukan sekadar pelakon utama, tetapi juga pencetus idea dan penerbit bersama Elyias Omar. Menurut Ryan, idea untuk menghasilkan filem pendek ini sudah lama wujud dalam dirinya, lebih-lebih lagi setelah melihat ramai rakan-rakan menghasilkan drama pendek berunsur Raya sebelum ini.
“Selama ini orang hanya melihat sisi komedi saya. Kali ini, saya ingin meneroka sisi lain dan memberikan sesuatu yang lebih bermakna kepada penonton,” katanya.
Selain Ryan sendiri, filem pendek ini menampilkan bintang-bintang hebat seperti Khatijah Tan, Ellie Suriaty Omar, Fendi London, Uyaina Arshad, Adriana Adnan, Dafi, dan To’ Puan Syamim Freida. Turut serta adalah Badron Munirah, Farihin, Wanchai, Adam Bakery, Black, Riev Wafa, Rushdan Wafa, serta kemunculan istimewa isteri Ryan, Eliya Ibrahim.


Dengan gabungan pelakon berpengalaman dan nama-nama segar dalam industri, “Raya Dipelukkan Mak” dijangka memberi impak mendalam kepada penonton.
Ryan menegaskan bahawa filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga cerminan realiti yang sering berlaku dalam kehidupan kita.
“Saya harap mesej ini sampai kepada mereka yang menonton. Kita selalu fikir kita menjaga hati ibu bapa, tetapi tanpa sedar, kadangkala kita yang melukai mereka,” tambahnya.
Ditulis oleh Marr Mohamad, “Raya Dipelukkan Mak” menjanjikan pengalaman menonton yang penuh dengan nilai kekeluargaan dan keinsafan.
Saksikan sendiri kisah menyentuh hati ini mulai 27 Mac, 6:30 petang di YouTube Ryan Bakery.
Tonton di https://youtu.be/v_xLBzje14A