December 4, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

RXZ ‘Buatan Malaysia” Bakal Mendunia Di Jepun

Spread the love

RXZ Twin Boss V2 Bakal Bertanding di Yokohama Hot Rod Custom 2024

Foto Kredit:  Fendy Ghafar

Berkat usaha gigih anak tempatan yang tidak mengenal erti ‘kegagalan’ akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menyertai Art of Speed 2024 yang telah berlangsung Julai lalu, salah satu pertandingan yang dianjur, iaitu Invitational Bike Build Off menyaksikan RXZ Twin Boss yang mendapat sentuhan Irwan Cheng dari FNGWorks membolot kedua-dua anugerah pilihan pengunjung dan juga juri.

Selain membawa pulang wang tunai RM5,000, satu lagi hadiah yang diberi kepada Mohamad Irwann Bin Mohd Azlan, berusia 33 tahun yan lebih dikenali sebagai ‘Cheng’ adalah perjalanan ke Jepun untuk bertanding di Yokohama Hot Rod Custom 2024. Bukan beliau sahaja yang akan ke sana, tetapi juga motosikal yang menjadi bualan ramai tersebut.

Antara inspirasi binaan ‘Cheng’ adalah motosikal yang direka oleh Khalid “The Rusty Factory”, Omar Jumiran, Padin Musa, Hills Angels, Azizan Rahim, dan Acid Welding.  Bagi pembina antarabangsa, Cheng mengagumi karya Maxwell Hazan, Allen Millyard, Ed Roth, Arlen Ness, dan Sure Shot.

Lihat sahaja pada motosikal ini kita sudah tahu ia adalah sebuah jentera kustom, tetapi yang menjadikannya lebih dekat kepada pemain motosikal di Malaysia adalah penggunaan enjin daripada Yamaha RXZ yang di gabungkan menjadi satu.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama Cheng menghasilkan sebuah jentera kustom yang menggunakan dua enjin RXZ. Ia pertama kali didedahkan pada tahun 2017, sebagai satu projek untuk dijadikan hadiah kepada pengunjung bertuah Art of Speed tahun itu.

“Saya ingin mencipta motosikal yang kelihatan cantik dan menarik perhatian. Sesetengah orang mungkin mengkategorikannya sebagai gaya ‘Board Tracker’ atau ‘Land Speed Racer’, tetapi saya mulakan dengan dua enjin Yamaha RXZ yang saya gabungkan menjadi satu unit”, ujar Cheng ketika ditemui media sewaktu pelancaran RXZ Twin Boss V2: Jom Balik Kampung Jepun pada 11 November lalu.

Cheng memulakan proses pembuatan sebuah motosikal dengan menetapkan jarak roda yang dimahukan, diikuti kerangka dan bahagian-bahagian lain. Tangki dan tempat duduk kini merupakan satu unit.

“Saya membina motosikal di sekeliling enjin yang, pada pendapat saya, mempunyai perkadaran dan garisan yang tepat. Untuk sentuhan terakhir, saya mensasarkan tahap ketepatan fabrikasi yang paling tinggi yang saya mampu capai.” Tambahnya.

Antara bahagian menarik lain yang diubah suai oleh Cheng antaranya adalah rim belakang, yang diambil daripada rim kereta, dibuang bahagian tengahnya, dan kemudian ditebuk untuk dipasangkan dengan sporked serta hab yang diambil daripada Yamaha 125Z.

Motosikal ini cuma mempunyai sistem serapan di hadapan sahaja, sementara di belakang, kedudukannya adalah kejur (rigid), dengan roda belakang disambungkan kepada plet besi yang dipotong menggunakan grinder pegangan tangan, dan bukannya mesin.

Bahagian hadapan nampak kosong kerana ia tidak mempunyai brek (cuma motosikal pameran) dan di bahagian pemegang ia menggunakan kabel tersembunyi untuk pendikit dan juga klac. Karburator menggunakan dua unit 28 mm daripada Uma Racing.

Art Of Speed Malaysia (AOSM) membiayai penyertaan Cheng dalam acara tersebut, dengan bajet RM60,000 untuk menghantar motosikal tersebut ke Jepun, termasuklah penerbangan, hotel, pengangkutan dan logistik.

Bagi menjadikan perjalanan Irwan ke Jepun lebih istimewa, pihak Art of Speed juga akan menghasilkan filem pendek enam bahagian seakan dokumentari, yang merakam pengembaraan Irwan bermula dari Malaysia hinggalah ke Jepun, bertajuk “RXZ Balik Kampung.”

Projek filem ini akan menampilkan Cheng sendiri, pembina kustom dari Ipoh, bersama-sama dengan Farid Nabawi, Pengarah Kreatif AOS.

Hanif Sulhi, pemenang Anugerah Siri Dokumentari Terbaik 2023, Fail Mahkamah TV3, akan membawa bakatnya dalam penceritaan dan menjadi pengarah filem pendek tersebut.

Selain disiarkan melalui pelbagai platform Art of Speed, filem pendek ini juga akan dihantar untuk bertanding dalam beberapa festival filem antarabangsa seperti Motorcycle Film Festival (Kanada), VAHNA Motorcycle Film Festival (USA) dan Dubai Motorcycle Film Festival (Dubai).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page