April 2, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rumah Produksi Merah Bongkar Perancangan 2025: Konsert di Penjara, Wings Fest & Dokumentari Eksklusif

Spread the love

Satu majlis iftar khas yang dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah bukan sekadar sesi berbuka puasa biasa. Majlis ini menjadi pentas bagi pengumuman besar yang bakal menggoncang dunia hiburan Malaysia pada tahun 2025. Dari konsert dalam penjara hingga ke dokumentari eksklusif, Rumah Produksi Merah bersiap sedia untuk menjayakan pelbagai projek mega.

Dalam langkah berani dan penuh inspirasi, Rumah Produksi Merah bakal merombak perspektif hiburan dengan penganjuran siri mini konsert di penjara-penjara Malaysia. Bermula di Penjara Kajang, inisiatif luar biasa ini bertujuan menyuntik sinar harapan dan motivasi kepada penghuni penjara melalui magis muzik.

“Muzik bukan sekadar hiburan, ia adalah terapi, ilham dan kekuatan jiwa. Kami percaya bahawa di mana ada melodi, di situ ada harapan,” ujar Dato’ Awie ketika ditemui media di majlis Iftar anjuran Rumah Produksi Merah yang telah diadakan di Baba Nyonya House, Hub SS2, Petaling Jaya pada 27 Mac lalu

Dengan sokongan para penaja dan badan berkepentingan, projek ini bakal menjadi transformasi sosial yang mencipta sejarah.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-40 kumpulan legenda Wings dalam industri muzik tanah air, Wings Fest akan diadakan pada Oktober atau November 2025. Selain itu, Dato’ Awie juga berkongsi berita menarik mengenai perancangan membawa Wings ke London untuk sebuah persembahan khas, yang kini masih dalam perbincangan.

“Empat dekad dalam industri adalah satu pencapaian yang luar biasa. Wings Fest bukan sekadar meraikan kejayaan kami, tetapi juga penghargaan kepada peminat setia yang sentiasa menyokong,” kata Dato’ Awie.

Rumah Produksi Merah turut mengumumkan Konsert Tribute yang menampilkan Dato’ Awie menyanyikan lagu-lagu klasik dari era 60-an, 70-an, dan 90-an. Untuk melengkapkan penghormatan ini, sebuah album khas juga akan diterbitkan, di mana sebahagian royalti akan dikongsi bersama artis asal dan waris mereka.

Selain perancangan konsert, Rumah Produksi Merah juga sedang menjalankan penggambaran drama bersiri 20 episod untuk RTM yang menampilkan Hazama, Roi Azman, dan beberapa pelakon lain. Tajuk drama ini masih dirahsiakan dan akan diumumkan kemudian.

Tidak kurang menariknya, sebuah dokumentari filem yang merakam perjalanan Wings sepanjang 40 tahun dalam industri muzik turut dalam perancangan. Dokumentari ini akan menampilkan cabaran, kejayaan, dan jatuh bangun kumpulan legenda ini.

“Setelah mendengar kisah jatuh bangun Wings dari Dato’ Awie sendiri, kami rasa terpanggil untuk merakamkan perjalanan ini dalam bentuk dokumentari, supaya ia dapat dikongsi dengan peminat serta generasi akan datang,” jelas Dato’ Eddy Amir Salim.

Dalam sidang media ini, Dato’ Eddy turut mengupas isu cetak rompak moden, khususnya penyalahgunaan kandungan konsert melalui siaran langsung tidak sah di platform digital. Beliau mendedahkan bahawa ada individu yang membeli tiket konsert dan menyiarkan persembahan secara berbayar di YouTube, sekali gus melanggar hak cipta serta merugikan pihak penganjur.

“Ini adalah satu bentuk pencabulan hak cipta yang serius dan perlu ditangani segera. Kami sedang mempertimbangkan tindakan perundangan untuk melindungi hak serta kepentingan industri muzik tempatan,” tegasnya.

Dengan pelbagai inisiatif besar yang diumumkan, Rumah Produksi Merah berharap agar semua pihak dapat memberikan sokongan demi memastikan kejayaan setiap projek yang dirancang. Dari konsert dalam penjara hingga ke dokumentari Wings, kesemuanya bertujuan memperkayakan landskap muzik dan hiburan tanah air.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.
<p>You cannot copy content of this page</p>