September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rossa Terharu Sambutan Peminat Di Malaysia

2 min read
Spread the love

Penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa terharu apabila tiket konsert Another Journey: The Beginning yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Julai depan mendapat sambutan yang menggalakkan.


Situasi ini membuktikan bahawa peminat tegar ‘Pecinta Rossa’ mendambakan persembahan penghibur tersebut sehingga mendorong penganjur, Dream Music Festival selaku penganjur konsert Another Journey: The Beginning menambahkan satu malam lagi.


Enggan menghampakan harapan ramai peminatnya, Rossa merasakan bahawa penambahan malam konsert pada 13 Julai adalah tanda penghargaan dan terima kasih atas sokongan luar biasa yang diberikan.


“Penganjuran konsert ini sungguh istimewa kerana tidak hanya membawa peminat menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya, malah saya juga akan menyampaikan beberapa lagu terbaharu daripada album terbaru saya”, ujarnya sewaktu majlis pelancaran konsert dan album terbaru, Another Journey The Beginning yang berlangsung di The Curve, Damansara.


“Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan pandemik Covid-19. Jika ingin tahu apa yang saya lalui sepanjang dua tahun sarat ujian itu, datanglah ke konsert Another Journey: The Beginning pada 13 dan 14 Julai nanti,” katanya.


Lebih menarik, Rossa tidak bersendirian apabila bakal bergandingan dengan Rizky Febian pada 13 Julai dan Mahalini Raharja pada 14 Julai selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.


“Untuk kali pertama sepanjang 25 tahun berkarier, saya mengundang beberapa komposer muda berbakat besar untuk bekerjasama dalam pembikinan album ini”.


“Ternyata, mereka sangat hebat dan Mahalini antara komposer serta penyanyi muda yang bakatnya luar biasa. Lebih bermakna apabila Mahalini sedia menjadi sebahagian daripada konsert kelak”, ujarnya.


“Di saat album fizikal tidak lagi menjadi pilihan pencinta muzik, namun saya bersyukur sebanyak 300,000 unit sudah terjual dalam masa tiga bulan,” tambahnya.


Tiket untuk persembahan konsert Rossa untuk 13 Julai Julai berharga RM178, RM198, RM388, RM508, RM688 dan RM8,888 (Royal Box) boleh diperoleh menerusi pautan ticket2u.com.my.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page