Rossa Lebih ‘Intim’ Dengan Peminat
Kemunculan semula diva Indonesia Dato’ Sri Rossa di Malaysia untuk menjayakan Konsert Rossa Another Journey: The Beginning di pentas Zepp Kuala Lumpur seumpama mengubat kerinduan peminat selain merasakan cukup intim kerana ianya cukup dekat dengan khalayak.
Hari pertama Konsert Rossa Another Journey:The Beginning berjaya memukau kira-kira 2,400 peminat dengan pengisian seleksi lagu-lagu yang mempunyai lirik sarat mesej positif. Penyanyi genit itu sendiri mengakui, memang lagu-lagunya banyak berkisahkan cerita-cerita yang sedih tetapi ia bukan untuk didendangkan begitu saja.
“Jomlo (bujang) bukan takdir atau nasib tapi pilihan. Banyak lagu saya berkisahkan cerita yang sedih tapi di sebalik lirik sedih itu, saya selalu selitkan mesej yang mempunyai makna positif,” sapa Dato’ Sri Rossa usai mendendangkan lagu Malam Pertama dan Jangan Hilangkan Dia.
Tidak melupakan pemuja lagu-lagu runut bunyi filem nyanyiannya, Rossa merangkumkan tiga single yang pernah menyorot perhatian pendengar suatu ketika dahulu iaitu Takdir Cinta, Atas Nama Cinta, dan Ayat-Ayat Cinta yang disampaikan secara medley.
Konsert Rossa Another Journey: The Beginning anjuran Dream Festival Collaboration Vol 3 yang telah di adakan pada 13 Julai itu turut menarik lebih 2400 peminat setia yang memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur. Rossa turut mengakui bahawa lagu-lagu yang dipersembahkan sarat dengan kisah sedih tetapi mempunyai mesej tersirat.
“Banyak lagu saya berkisahkan cerita yang sedih tapi di sebalik lirik sedih itu, saya selalu selitkan mesej yang mempunyai makna positif,” tambahnya lagi.
Minda dan perasaan khalayak terus di buai Rossa menerusi untaian dan bait puitis lagu-lagu dendangan penyanyi yang cukup bijak melayan karenah peminat setianya. Segalanya diterjemahkan dengan gaya yang cukup menarik ditemani warna-warni skrin LED di pentas melalui 19 lagu yang pastinya cukup dekat di hati para peminatnya.
Konsert berdurasi dua jam itu menyaksikan penyanyi berkenaan membuat peminat juga tidak kering gusi dengan keletahnya yang lucu. Antara lagu yang di persembahkan adalah Tegar, Pudar, Hey Ladies dan Aku Bukan Untukmu.
Rossa turut mengundang Rizky Febian ke pentas dan mereka akhirnya berduet menerusi lagu Bertengkar Manis. Pentas kemudiannya diserahkan kepada Rizky. Cuek dan Kesempurnaan Cinta menjadi wadah buat peminat yang juga kelahiran Indonesia itu.
Terdahulu, pentas konsert Rossa Another Journey: The Beginning di panaskan dengan persembahan Betrand Peto Putra Onsu yang mempersembahkan dua lagu, Takkan Berpaling Darimu dan Ku Menunggu secara akustik.
Rossa turut membuktikan bahawa beliau adalah seorang artis serba boleh, hal ini diterjemahkan menerusi lagu ‘Sangcheo’ yang disampaikan dalam bahasa Korea.
Pada Nov tahun lalu Rossa meraikan 25 tahun keberadaannya dalam industri muzik dengan persembahan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).Ketika itu beliau menyatakan azamnya untuk muncul kembali tahun ini kerana berasakan konsert berkenaan belum memadai untuk mengubat rindu peminat.
Peminat turut disajikan dengan lagu terbaru daripada album yang menggunakan judul sama yang dilancarkan pada Feb lalu. Antara lagu-lagu dari album baru adalah Sekali Ini Saja, Wanita, Masih dan Terlalu Berharap.
Tirai konsert Rossa Another Journey: The Beginning di tutup dengan lagu Hey Ladies yang di sampaikan secara trio di antara Rizky, Betraband dan Rossa yang turut menyaksikan lontaran vokal daripada khalayak yang nyata cukup puas dengan persembahannya.