September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rompakan Keluarga Terbesar: Temui ‘The Experts’ di Pawagam 23 Mei 2024 Ini

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

“Alhamdulillah, selepas filem “Sheriff” terbukti sukses cemerlang, Astro Shaw dengan bangga mempersembahkan sebuah lagi filem yang terinspirasi berdasarkan peristiwa nyata di seluruh dunia dan belum pernah disaksikan sebelumnya di pawagam Malaysia. Filem “The Experts” merupakan kombinasi jalinan elemen komedi, keluarga, aksi serta dibintangi barisan para pelakon hebat, versatile dan sofistikated.” tutur Raja Jastina  Raja Arshad selaku Penerbit Eksekutif The Experts merangkap Ketua Astro Shaw membuka bicara pada sidang media bertempat di Slate At The Row pada 30 April 2024 yang lalu.

“Kami percaya ramai yang tidak sabar menanti filem ini dan tambah teruja apabila menyaksikan video ‘teaser’ The Experts pada 24 April lalu. Buktinya ‘teaser’ tersebut menerima lebih 1.5 juta tontonan di platform media sosial Astro Shaw dalam tempoh kurang dari 24 jam beserta komen-komen positif.” sambungnya lagi. “Kami juga sangat gembira berpeluang bekerjasama dengan rakan penerbit yang berpengalaman seperti ZAK Capital dan TGV Pictures untuk menjayakan filem ini. Manakala kerjasama dengan Calpis Soda menerusi ‘Fizz Operation’ menggabungkan kelebihan inovasi dalam memperluas jangkauan kami dan menetapkan era baru dalam pemasaran platform hiburan.”

Filem aksi ‘heist’ yang sangat diantisipasi untuk tahun 2024 ini akan bermula tayangan perdananya di pawagam seluruh negara pada 23 Mei. Produksi oleh studio filem terkemuka Astro Shaw bersekutu dengan ZAK Capital dan TGV Pictures menawarkan kisah yang terinspirasi dari peristiwa sebenar dan dipadatkan dengan elemen komersial yang mampu memberikan pengalaman mendebarkan kepada penonton.

Hasil karya dibawah arahan Sutradara Blockbuster Polis Evo 2, Andre Chiew bersama Pengarah Filem J2: J Retribusi, Nazim Shah serta skrip oleh Penulis Polis Evo, Joel Soh memperlihatkan gandingan pertama kali bintang-bintang hebat tanahair seperti Dato’ Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak dan Ray Dapdap sebagai 5 beradik yang membuat perancangan terbesar dan terperinci untuk merompak. Turut membarisi pelakon ternama seperti Maya Karin, Douglas Lim, Tony Eusoff, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Jay Iswazir dan Michael Ang.

Kisah “The Experts” bermula selepas sedekad meninggalkan kegiatan merompak, 5 beradik kembali berkumpul kerana satu ugutan. Mendapat arahan daripada samseng terkenal untuk melakukan satu rompakan berisiko tinggi, mereka berdepan dengan dendam lama, tragedi keluarga dan bayangan sejarah kejahatan mereka. Setiap ahli keluarga perlu mengorbankan segalanya demi melindungi keluarga mereka dalam misi paling sukar ini.

Dato’ Aaron Aziz ketika ditemui sempat memberitahu bahawa beliau sentiasa terbuka untuk apa saja watak yang diberikan tanpa had. “Niat nak bersara dari lakonan memang tak terfikir pun. Kalau ada peluang saya suka cuba watak-watak yang berbeza, saya tak kisah walaupun watak yang kecil. Dah 24 tahun dalam bidang ni takkan asyik nak berlakon cerita cinta je. Dulu saya pernah cakap tak mahu berlakon jadi Gay, tapi berlakon pula siap menang award pula. No harm trying lah.” ceritanya yang ketara nampak teruja dengan watak Farid sebagai Abang Long dan Maestro dalam “The Experts.”

“Bagi saya watak yang paling mencabar ialah jadi watak baik. Kena tunjuk sesuatu yang berbeza dari diri sendiri. Karektor cinta lagi susah nak bawa, nak jadi ‘Lover Boy’ bukan senang. Kalau tanya saya, dan diberi pilihan, saya suka watak jadi jahat.” Ujar Dato’ Aaron Aziz sambil tersenyum penuh makna. Penonton dikhabarkan boleh menjadi yang paling terawal menyaksikan filem ini melalui ‘sneak preview’ pada 21 Mei bermula jam 6 petang – iaitu satu hari sebelum tarikh tayangan rasmi filem.

Lagu tema rasmi The Experts tampil dengan runut bunyi bergenre Jazz nyanyian lemak merdu oleh Yuka Kharisma bertajuk “Cinta Indah Buat Kanda” hasil komposisi sepenuhnya oleh Muzza. The Experts turut menerima sokongan daripada rakan jenama Petron Malaysia, Sheraton Imperial Kuala Lumpur Hotel, Amee Philips dan PopLook.

Menggunakan tagline “Satu Rompakan Berkeluarga Terbesar”, The Experts menyediakan pelbagai inisiatif pemasaran yang dirangka khusus untuk menambahkan lagi keterujaan penonton dan peminat filem Malaysia.

Jangan lupa serbu pawagam 23 Mei nanti untuk satu pengalaman unik mengembara bersama keluarga perompak paling pakar dalam sejarah perfileman Malaysia, The Experts.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page