October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Rockolusi Kuasa Dua” Pertemukan Kristal X dan Azlan & The Typewriter

Spread the love

Konsert pembuka tirai 2026 anjuran Republic Mokhmah Records

Tahun baharu 2026 bakal dibuka dengan gegaran rock tempatan apabila Kristal X dan Azlan & The Typewriter bergabung di bawah satu pentas menerusi konsert “Rockolusi Kuasa Dua”, bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2026.

Penganjuran konsert ini menjadi tanda pembuka tirai bagi syarikat rakaman Republic Mokhmah Records, yang mahu mengangkat semula nama dua pemuzik prolifik tanah air yang telah meninggalkan jejak mendalam dalam industri muzik Malaysia.

“Kristal X ialah kugiran legenda yang sudah melalui perjalanan panjang sejak zaman remaja mereka lagi. Lagu-lagu malar segar seperti Memburu Impian, Seragam Hitam, Luahan Hati dan Suatu Kenangan akan kembali diperdengarkan secara langsung, mengembalikan semangat nostalgia buat para peminat lama,” ujar Encik Musa dari Republic Mokhmah Records dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, kolaborasi bersama Azlan & The Typewriter adalah satu gandingan yang cukup istimewa. “Azlan adalah vokalis yang sangat disegani, dengan kebolehan nada tinggi yang tidak banyak dimiliki penyanyi lain. Selain Jangan Khianati Aku yang menjadi fenomena hingga ke Indonesia, generasi baharu juga akan kembali jatuh cinta dengan karya-karya berkualiti beliau,” tambahnya.

Sementara itu, Azlan menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Kristal X sebagai penghargaan besar. “Kami mahu membuktikan bahawa muzik kami masih hidup dan terus segar untuk dinikmati peminat,” ujarnya.

Tiket telah mula dijual sejak Selasa, 23 September 2025, jam 3 petang di ilassotickets.com, dengan harga bermula dari RM168, RM188, RM248, RM348, serta pakej Royal Box RM8000 (10 orang) bagi yang mahukan pengalaman eksklusif.

“Rockolusi Kuasa Dua: Kristal X & Azlan & The Typewriter” bukan sekadar sebuah konsert, tetapi peristiwa penting yang membuktikan bahawa pemuzik tempatan masih relevan, masih berbisa, dan sentiasa layak disokong oleh generasi kini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page