Rocketfuel Himpunkan 7 Lagu Raya, Cipta ‘Universe’ Syawal Penuh Warna
Menjelang Ramadan dan Syawal tahun ini, Rocketfuel Entertainment tampil dengan langkah luar biasa apabila menghimpunkan tujuh lagu raya dalam satu projek khas yang disifatkan sebagai sebuah ‘universe’ kreatif penuh warna dan emosi.
Mengangkat semangat kebersamaan selari dengan tagline Astro Salam Ramadan 2026, “Bila Bersama, Lagi Jadi”, projek ini bukan sekadar menampilkan lagu berentak rancak untuk memeriahkan suasana, malah turut menyelitkan karya balada yang menyentuh hati. Kesemua lagu berkenaan akan dihimpunkan dalam sebuah EP khas, sekali gus membentuk naratif raya yang saling berkait.
Single “Rindu Raya” nyanyian ALPHA membuka tirai projek ini sejak 21 Februari lalu. Berentak pop sederhana, lagu berkenaan mengangkat tema kerinduan terhadap keluarga dan kampung halaman.
“Lagu ini memang berbeza daripada kebiasaan kami. Kami mahu tonjolkan sisi yang lebih tenang dan penuh perasaan. Rasa rindu pada keluarga itu sangat universal,” kata ALPHA.

Sehingga kini, lagu berkenaan sudah meraih lebih 200,000 tontonan di YouTube Rocketfuel Network.
Sementara itu, Wani Kayrie kembali memeriahkan suasana dengan “Kampung Kita”, lagu ceria yang mengisahkan keterujaan pulang beraya termasuk perasaan manis bertemu insan istimewa.
“Saya suka lagu raya yang fun dan buat orang rasa hendak menari. ‘Kampung Kita’ ada vibe itu, tapi dalam masa sama ada kisah manis tentang rindu,” katanya.

Lebih menarik, Hael Husaini bukan sahaja berkolaborasi bersama ALPHA menerusi “Raya Macam Raya”, malah turut tampil dengan single solo “Lagu Raya Untukmu”.
“Raya Macam Raya” ciptaan Hael bersama Iqie Hugh mengetengahkan keterujaan membuat persiapan Aidilfitri.
“Apabila menjelang raya, kita memang mahu semuanya lengkap. Bila persiapan cukup dan kita bersama orang tersayang, barulah terasa kemeriahan sebenar,” jelasnya.
Manakala “Lagu Raya Untukmu” pula disifatkan sebagai hadiah istimewa buat peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong kerjayanya.

Lagu “Duit Raya” nyanyian Sharul Kamal bersama Mierul Aiman pula membawa mesej realiti dengan bait pembuka ‘ada duit takda duit, raya tetap raya’.
“Kami mahu lagu ini jadi peringatan yang ringan tapi bermakna. Walau apa pun keadaan, raya tetap tentang keluarga dan kasih sayang,” ujar Sharul, manakala Mierul menambah elemen rap memberi sentuhan moden dan segar.

Tidak ketinggalan, Dayang Nurfaizah menyentuh hati pendengar menerusi balada “Senyum Gugur Di Hujung Doa”, karya ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh yang berkisar tentang kerinduan terhadap insan tersayang yang telah pergi.
“Setiap kali raya, pasti ada yang terasa kehilangan. Lagu ini saya nyanyikan dengan hati yang tulus,” kata Dayang.
Manakala Nadeera tampil dengan “Restu Raya”, lagu yang mudah dinyanyikan dan sarat mesej kebersamaan.
“Saya mahu lagu ini menyatukan semua, tidak kira usia,” katanya.
Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, setiap lagu dalam projek ini membawa identiti tersendiri.
“Ada yang ceria, ada yang reflektif dan ada yang moden. Inilah realiti masyarakat kita yang berbeza latar belakang dan rasa, tetapi bersatu apabila tibanya Syawal,” katanya.
Jelasnya, pendekatan menghimpunkan tujuh karya dalam satu ‘universe’ adalah usaha menampilkan kepelbagaian emosi yang menjadi sebahagian daripada sambutan Aidilfitri.
Ternyata, Rocketfuel bukan sekadar menghasilkan lagu raya, sebaliknya mencipta rangkaian cerita daripada tawa hingga gugur air mata demi menghidupkan lagi makna Syawal tahun ini.
