January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Rockers’ Masih Bernyawa Dalam Rock – Joe

Spread the love

Tak Kejar Populariti, Jiwa Masih ‘Kekejaman’

Kredit Foto:  Subky KLK / FB Joe Rockres

Nama Johan vokalis kumpulan Rockers bukan sekadar catatan nostalgia dalam sejarah muzik rock Nusantara. Suara garau berkarakter yang pernah mengaum dalam lagu Kekejaman, Zaileha, Harakah, Andalusia dan sebagainya itu masih bernafas, malah terus hidup meskipun landskap muzik hari ini berubah wajah.

Sebagai vokalis kumpulan legenda Rockers, sebuah band heavy rock terkenal dari Singapura yang ditubuhkan pada 1979 (asalnya dikenali sebagai Killing Machine), pernah berdiri di barisan hadapan gelombang rock keras era 80-an dan 90-an. Rockers dianggotai Johan (vokalis), Aziz (gitar utama), Rashid (gitar), Leman atau Man Karen (bass) serta Irman (dram), sebelum mengalami beberapa pertukaran barisan.

Album debut Kekejaman yang diterbitkan pada 1988 meletakkan Rockers sebagai antara kumpulan rock paling beridentiti di rantau ini, diikuti Harakah dan Andalusia yang terus mengukuhkan nama mereka. Namun, konflik dalaman akhirnya membawa kepada perpisahan namun kini tetap berdiri utuh menjulang nama ROCKERS.

Beliau kini menetap di Singapura dan mengakui dirinya masih bergerak dalam dunia muzik, namun dengan pendekatan berbeza. Populariti dan sensasi bukan lagi keutamaan, sebaliknya kesetiaan terhadap jiwa rock yang membesarkan namanya menjadi pegangan utama.

“Abang Jo bukan tidak mahu ‘kembali’ mewarnai dunia muzik rock, tetapi ada beberapa kekangan yang terpaksa membuatkan kumpulan Rockers terpaksa ‘vakum’, namun jika ada permintaan why not kita tampil “, ujar beliau ketika di temui di Singapura baru-baru ini.

Joe juga menjelaskan bahawa kekuatan Rockers terletak pada keaslian daripada vokal hingga jiwa muziknya. Suara itu memang ‘trademark’. Bukan dibuat-buat. Rockers dari dulu berdiri atas kejujuran.

Lagu Kekejaman yang sarat kemarahan, Zaileha penuh emosi dan Andalusia dengan nuansa tersendiri membuktikan Rockers bukan sekadar band keras, tetapi memiliki lapisan ekspresi yang luas.

Menurutnya, tawaran persembahan masih wujud, namun kekangan utama adalah kos, terutama melibatkan permit dan pergerakan rentas negara.  Apatah lagi jika ianya di adakan di Malaysia.

“Bukan tak nak main. Minat masih ada. Tapi bila melibatkan permit dan kos, jadi berat,kadangkala faktor ini menjadi sebab mengapa kami memilih untuk berdiam diri”, katanya jujur.

Namun, beliau terbuka untuk bergerak secara solo atau bersama kumpulan, asalkan wujud keserasian diantara pihak penganjur.

Dalam diam, Joe turut mendedahkan sebuah lagu baharu sudah siap dari segi ciptaan dan hanya menunggu masa sesuai untuk dirakam.  Malah Rockers masih kekal dengan ‘line up’ sama kecuali di posisi bass dan drum

“Lagu dah ada. Cuma masa saja. Kita tak nak buat semata-mata nak kejar ‘exposure’,” ujarnya.

Walaupun usia meningkat, Joe percaya vokalnya kekal terjaga hasil pemahaman teknik pernafasan dan kawalan suara, selain menjaga stamina melalui rutin fizikal seperti joging.

“Teknik itu penting. Bila nyanyi, kita tahu macam mana nak lepaskan suara,” katanya.

Mengulas perubahan industri muzik era digital, beliau melihat isu royalti dan penghargaan artis kini semakin kabur.

“Dulu kaset, CD. Sekarang semua digital. Kalau nak bagi, bagilah. Kalau tak, kita jalan. Kita main muzik, bukan cari gaduh,” katanya.

Apa pun bentuk pentas dan peluang, satu perkara kekal utuh dalam diri Joe Rockers dimana rock bukan trend, tetapi jiwa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page