September 7, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Risiko kalau datang konsert Armada memang akan merasa sedih.” – Rizal Armada Band

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

15 tahun berkarya, 15 buah lagu juga lah dihidangkan buat lebih 2,500 pasukan Armada Malaysia pada malam 29 Oktober. Penantian untuk mengadakan konsert sulung di Malaysia selama 5 tahun selepas tertunda pada tahun 2018 atas sebab yang tidak dapat dielakkan – akhirnya terlaksana. Meski pada awal nya penjualan tiket agak perlahan namun menjelang konsert ternyata sold-out! Ini menunjukkan ramai yang suka membeli di saat-saat akhir. Ditubuhkan pada 2005 dengan nama asal Kertas, kemudian menukar nama ke Armada dua tahun berikutnya, band asal Palembang Indonesia ini sangat terkenal dengan lagu-lagu hits ballad mellow yang sarat mesej-mesej tersirat dalam senikata cinta.

Rizal (vokal/gitar), Mai (gitar) dan Andit (dram) ketika ditemui memiliki personaliti yang sangat humble. Berulang-kali memohon maaf atas keterlewatan tiba ke sidang media berikutan hujan lebat dan trafik sesak, Rizal bercerita “Kerana kami pertama kali datang ke Malaysia untuk beraksi di pentas, banyak aturcara yang sedikit tidak tersusun, mohon maaf dari hati yang terdalam.” Jelas tampak gugup tetapi teruja, Rizal menambah “Kami akan bawakan 15 lagu malam ini, semuanya lagu kami sendiri, tiada lagu cover kerana kami mahu datang lagi sekiranya sukses. Kalau dapat datang lagi kami mahu cover lagu-lagu dari P. Ramlee.” mengakui sangat meminati seniman agung negara kita itu.  

Jam menunjukkan 8:30mlm ketika opening act, By Hard (Koplo) membuka tirai. Penampilan istimewa oleh Tiera Shamiera disambut sorak-teriak dan tepukan gemuruh. Membawakan 3 buah lagu bergenre Dangdut, hadirin terhibur dan bergoyang bersama. Namun peminat kelihatan tidak sabar-sabar lagi untuk larut dalam alunan muzikal lagu-lagu Armada. Ruangan Zepp KL yang padat mulai bergemuruh dengan jeritan “Armada! Armada!” dan langsung ternampak sosok Rizal, Mai dan Andit berbalam-balam di atas pentas yang malap. Setup agak berbeza apabila set dram diletakkan sebelah kanan pentas. Lagu rancak “Mau Di Bawa Ke Mana” di pilih sebagai intro, di ikuti “Cinta Itu Buta” dan “Mabuk Cinta” sebelum masuk nada perlahan melalui lagu yang dicipta khas buat anak Mai yang telah pergi berjudul “Apa Khabar Sayang?” bermain dengan emosi penonton.

Oleh kerana setiap lagu sudah tidak asing lagi, Rizal cuma perlu menyanyi sedikit sahaja kemudian disambut selanjutnya oleh pasukan Armada tanda mereka hafal dengan semua lirik lagu. Kagum dan terharu, Rizal mengajak penonton menyalakan flashlight dari telefon bimbit masing-masing, untuk menciptakan nuansa kerlipan ‘bintang-bintang’ di dalam ruang Zepp KL. “Buka Hatimu”, “Pemilik Hati”, “Awas Jatuh Cinta” dan “Hargai Aku” berkumandang. Usai lagu-lagu itu, Rizal bertanya kepada penonton “Kenapa sedih?” disahut teriakan suara “Melodi dan lirik nya sedih.” dari setiap yang terkesan menghayati bait-bait lagu. “Itulah risiko kalau datang ke konsert Armada!”. Gamat gelak ketawa mengisi malam mendengarkan Rizal berkata begitu. “Kalau datang konsert kami memang akan merasa sedih.” Ujarnya tersengih.

Single terbaru “Memori” diperdengarkan, satu lagi lagu ballad mellow yang indah. Di antara lagu ke lagu, Rizal menyelitkan kata-kata nasihat tentang cinta. Nasihatnya itu sangat bermakna dan dihargai setiap yang hadir. Tidak lama, tidak membuang masa dan tidak perlu tukar 2-3 kali baju, Armada lanjut lagi dengan lagu popular mereka “Bebaskan Diriku”, “Penantian” dan “Seharusnya Aku”. Pasukan Armada Malaysia sepakat menghayun tangan ke udara, mengikut melodi lagu dan sing-along. Suasana syahdu dan sentimental jiwa masih tetap diteruskan apabila “Asal Kau Bahagia” didendangkan. Semuanya terpukau dan hanyut dalam keasyikan.

Bertukar mood yang lebih rancak sebelum malam berakhir, Rizal merayu agar semua menyimpan telefon bimbit dan sama-sama berdansa. Akur dan tidak membantah, malam dihiasi lagu “Pulang Malu Tak Pulang Rindu” ala-ala Pop Reggae dan “Pergi Pagi Pulang Pagi” yang dipilih sebagai outro yang bijak. “Sudah lah tadi sedih-sedih, kita pulang happy happy ya!” Terbit senyum gembira dari semua.

Armada Band didatangkan secara khusus oleh SK One Ventures sebagai penganjur untuk mengubat luka akibat penundaan 5 tahun lalu. Benar lah terubat sudah luka. Armada akan meneruskan lagi siri konsertnya di Kota Kinabalu, Sabah pada tanggal 4 November. Jangan ketinggalan, untuk konsert sehebat ini, anda sendiri yang rugi nanti.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page