January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rise of the Roach Tour: Papa Roach Pilih Malaysia dan Singapura Sebagai Destinasi Asia Tenggara

Spread the love

Oleh Jorn Seth Ov Metalwarpage

Bagi generasi yang membesar pada penghujung 1990-an dan awal 2000-an, bunyi jeritan “Cut my life into pieces…” bukan sekadar bait lagu, tetapi cerminan emosi remaja yang membesar dalam era penuh kegelisahan, kemarahan dan pencarian identiti. Kini, lebih dua dekad selepas lagu itu meledak di radio, MTV dan pemain CD, Papa Roach akhirnya membawa suara generasi itu ke Malaysia.

Kumpulan legenda nu-metal dari Amerika Syarikat ini bakal membuat penampilan sulung mereka di negara ini menerusi konsert Rise of the Roach Tour pada 29 Mac 2026 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur satu detik bersejarah yang lama dinantikan peminat rock tempatan.

Ditubuhkan di Vacaville, California, Papa Roach muncul pada era ledakan muzik keras yang menyaksikan nama seperti Korn, Limp Bizkit, Linkin Park dan Deftones mendominasi carta serta saluran muzik antarabangsa. Ketika dunia masih beralih daripada kaset ke CD, dan daripada radio ke saluran muzik kabel, Papa Roach hadir dengan bunyi yang mentah, agresif dan jujur.

Album Infest (2000) menjadi tiket emas mereka ke arus perdana. Lagu “Last Resort” bukan sahaja mencipta fenomena, malah menjadi anthem global yang mengangkat isu kesihatan mental dan konflik dalaman, sesuatu yang jarang dibicarakan secara terbuka dalam muzik popular ketika itu. Di Malaysia, lagu itu menjadi siulan di asrama sekolah, kedai kaset, siaran radio rock serta rancangan muzik hujung minggu.

Era itu juga menyaksikan peminat mengenali Papa Roach melalui CD import, majalah muzik, poster dinding bilik tidur dan fail MP3 yang dikongsi sesama rakan. Tanpa media sosial dan penstriman digital, hubungan peminat dengan muzik dibina melalui pengalaman kolektif menunggu carta lagu, menyalin lirik di belakang buku, dan menjerit bersama-sama di hadapan televisyen ketika video muzik ditayangkan.

Namun, apa yang membezakan Papa Roach daripada banyak band seangkatan ialah keupayaan mereka untuk bertahan dan berevolusi. Walaupun gelombang nu-metal mula mereda, Papa Roach tidak tenggelam. Mereka terus menyesuaikan bunyi muzik dengan era baharu, menggabungkan elemen hard rock dan alternative tanpa meninggalkan akar emosi yang menjadi identiti mereka.

Rise of the Roach Tour diraikan sempena ulang tahun ke-25 kemunculan Papa Roach di arus perdana, sekali gus menjadi perjalanan merentas masa buat peminat lama dan pendengar generasi baharu. Senarai lagu dalam jelajah ini dijangka merangkumi karya klasik era awal, lagu-lagu hit pertengahan karier serta material terkini yang membuktikan Papa Roach masih relevan dan bertenaga.

Di pentas, Papa Roach terkenal dengan persembahan penuh intensiti. Vokalis Jacoby Shaddix sering digambarkan sebagai penghubung emosi antara band dan penonton menjerit, menyanyi dan berbicara tentang perjuangan hidup, menjadikan setiap konsert sebagai pengalaman yang lebih peribadi berbanding sekadar hiburan.

Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, penganjur yang berpengalaman membawa artis antarabangsa ke Malaysia. Menurut Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Group, kehadiran Papa Roach ke Malaysia dan Singapura membuktikan bahawa pasaran muzik rock di rantau ini kekal kuat.

“Kami percaya muzik Papa Roach mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat di Asia Tenggara. Persembahan sulung mereka di Malaysia dan Singapura bukan sahaja satu konsert, tetapi perayaan perjalanan muzik yang panjang dan berpengaruh,” katanya.

Selain Kuala Lumpur, Papa Roach turut akan mengadakan persembahan di Singapura pada 31 Mac 2026 di Arena @ EXPO, sebagai sebahagian daripada Rise of the Roach 2026 World Tour.

Konsert di Malaysia akan menawarkan empat kategori tiket dengan harga bermula dari RM159 hingga RM399, manakala persembahan di Singapura akan menawarkan tiga kategori tiket dengan harga bermula dari SGD158 hingga SGD299.

Tiket akan mula dijual kepada umum pada 28 Januari 2026, jam 12 tengah hari, menerusi www.hitmanlive.com. Peminat juga boleh mendapatkan pakej VIP eksklusif melalui laman rasmi jelajah Papa Roach.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan konsert ini, sila hubungi +6012-2655783 atau emel concerts@hitman.group.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page